Belanjawan 2021: Kerajaan perlu wujudkan pencen sosial
Perancangan kepada rakyat hadapi status negara tua pada 2030

BANGI, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kerajaan perlu bersiap-siaga melakukan perancangan kewangan bagi rakyat menghadapi status negara tua pada 2030.
Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA), Hazwan Mohamad berkata, negara ini dijangka mencapai status itu apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas lebih ramai daripada penduduk 60 tahun ke bawah.
“Bagi memastikan warga tua mempunyai pendapatan yang mencukupi ketika persaraan selain pencen yang disediakan oleh majikan, dicadangkan supaya mewujudkan sistem pencen sosial.
“Langkah berkenaan elah banyak diperkenalkan oleh banyak negara yang mempunyai strata penduduk warga tua yang tinggi seperti Jepun, United Kingdom dan Perancis.
“Tiga contoh negara ini adalah contoh yang boleh kita jadikan kayu ukur untuk menguji dan menilai keberkesanan mereka melaksanakanya,” cadangnya susulan pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan esok.
Mengulas lanjut, Hazwan menjelaskan bahawa pencen sosial adalah pencen disediakan oleh kerajaan kepada semua individu tidak kira apa sahaja pekerjaan atau sektor yang dijalani.
“Sepanjang tempoh berkerja, rakyat akan menyumbang peratusan kecil gaji mereka ke dalam tabung pencen sosial dan kemudian mereka akan menerima sejumlah pendapatan tetap ketika persaraan mereka,” katanya.
Melalui Belanjawan 2020, sebanyak RM575 juta disediakan kerajaan terdahulu untuk bantuan sosioekonomi yang memanfaatkan 137,000 warga emas, dengan pendapatan isi rumah di bawah garis kemiskinan.