Berita Utama

Belanjawan 2021: Syor naikkan BSH kepada RM5,000

BERJASA turut cadang bantu peniaga kecil terkesan akibat COVID-19

BANGI, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kerajaan disaran menyuntik dana kepada rakyat bagi membolehkan mereka berbelanja serta menggerakkan kembali kitaran wang dalam ekonomi negara melalui Belanjawan 2021 yang bakal dibentang esok.

Timbalan Ketua Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA), Ad Satiman berkata, keadaan ekonomi rakyat yang semakin menghimpit secara tidak langsung memberi impak besar kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

Malah, katanya, Indeks Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang tidak menentu dalam tempoh dua bulan terakhir, selain pemberhentian ramai pekerja secara mengejut turut terkesan akibat daripada impak ekonomi itu.

Justeru, katanya, BERJASA mencadangkan kepada kerajaan untuk membantu peniaga-peniaga kecil dengan menyediakan geran berjumlah RM5,000 pada belanjawan kali ini.

Katanya, ia bagi menampung kos tetap perniagaan mereka yang ternyata terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Pada masa sama, kerajaan juga perlu menambah elaun Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada RM5,000 kepada setiap isi rumah yang layak bagi meringankan beban kelompok ini.

“Walaupun akan memakan belanja yang besar kepada kerajaan, tetapi itulah kaedahnya untuk memulihkan ekonomi kita dalam jangka masa singkat.

“Jika kerajaan tidak mahu menyuntik dana ini kepada rakyat, kerajaan juga akan terkesan untuk tempoh jangka masa yang panjang apabila ekonomi rakyat semakin lembab,” katanya.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan terdahulu memperuntukkan RM5 bilion untuk Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memberi manfaat kepada 3.9 juta isi rumah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button