Artikel KhasBerita Utama

BERJASA syor ‘Belanjawan Hikmah: Rakyat Dijaga, Watan Dibina’

Mewujudkan pencen sosial dan pencen khas ‘Gig Economy’

MENGAMBIL kesempatan pembentangan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen, Berjasa menggariskan cadangan belanjawan hikmah bertemakan “Rakyat Dijaga, Watan Dibina” berteraskan kepentingan proses pemulihan akibat dampak kejatuhan ekonomi dunia dan wabak pandemik Covid-19 terhadap rakyat dan watan Malaysia tercinta.

Mukaddimah

1. Berjasa melihat dalam menguruskan ekonomi, sesebuah kerajaan mestilah berpegang kepada tiga prinsip yang utama iaitu al-Haq (Kebenaran), al-Masuliyah (kebertanggungjawab) dan al-Adalah (Keadilan).

2. Tiga prinsip ini merupakan asas formula urustadbir yang baik atau ‘good governance’ bagi menegakkan sebuah kerajaan pemerintah yang berwibawa seterusnya menawarkan solusi hikmah kebijaksanaan dasar dan polisi untuk rakyat.

3. Melalui perspektif al-Haq (Kebenaran), kerajaan mestilah telus dalam menyalurkan maklumat dan fakta kepada rakyat. Maka kerajaan yang berpegang pada al-Masuliyah (Kebertanggungjawaban) tidak menggunakan neraca populis semata-mata dalam merangka dasar dan polisi untuk negara terutamanya untuk meraih undi dan mengekalkan kuasa. Demikian juga kerajaan yang mengangkat al-Adalah (Keadilan) akan memastikan tiada sesiapa pun yang tercicir dalam mendepani cabaran masa hadapan yang semakin mencabar.

Unjuran Ekonomi Malaysia

Saudara dan Saudari,

4. Menghampiri penghujung tahun 2020 kita masih lagi bergelut dalam melawan pandemik Covid-19. Ketika ini menurut kajian, kita kini sedang berhadapan dengan serangan Gelombang Ketiga Pandemik Covid-19. Suhu politik negara juga tidak kurang panasnya, dalam kita sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan, kita juga masih bergelut dengan krisis politik perebutan kuasa yang tidak berkesudahan yang akhirnya lebih banyak mengundang kemudaratan kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya. Sesungguhnya tahun 2020 ini merupakan tahun yang amat mencabar buat seluruh anak watan Malaysia.

5. Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi dampak ekonomi yang menyesakkan. Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) dalam laporan terbaru telah meramalkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia akan menguncup sebanyak 3.1%. Penguncupan seperti yang telah dijangka semua pihak adalah hasil daripada tindakan drastik kerajaan untuk menjalankan arahan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP bagi mengekang wabak pendemik Covid-19 ini.

6. Berjasa menyokong penuh tindakan kerajaan yang mengutamakan kesihatan awam berbanding prestasi ekonomi. Berjasa terus menyokong sebarang cadangan professional daripada pakar kesihatan sekiranya ada keperluan terhadap fasa PKP yang baharu susulan ramalan dunia terhadap gelombang ketiga pandemik ini. Namun ianya mestilah dilaksanakan secara penuh teliti dan mengambilkira dampak ekonomi Malaysia secara keseluruhan dan ekonomi periuk nasi rakyat.

7. Unjuran kadar pengangguran yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara juga menunjukkan lonjakan daripada sekitar 3.2% pada suku pertama tahun ini ke 5% setakat bulan April tahun ini. Ini merupakan kadar pengangguran tertinggi pernah dicatatkan dalam 20 tahun. Kira-kira 778, 800 orang di dalam sektor buruh akan menganggur manakala kira-kira 4.87 juta orang terdedah dengan risiko dibuang kerja kesan daripada PKP. Seramai 2.59 juta orang yang berkerja sendiri (self-employed) juga yang rata-rata berada dalam sektor makanan, pelancongan, pekebun kecil serta pertanian juga turut terdedah dengan risiko pengurangan pendapatan yang besar.

8. Sektor eksport negara pada April 2020 mencatatkan penurunan 23.8% kepada RM64.9 bilion, penurunan paling besar sejak September 2009, sementara nilai import pula melebihi nilai eksport terutama disebabkan terdapat import barangan modal yang bernilai RM10.1 bilion, menghasilkan defisit dagangan sebanyak RM3.5 bilion. Walaupun penurunan sektor eksport ini dijangka bersifat sementara, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membantu perniagaan-perniagaan yang terjejas akibat kelembapan perdagangan dunia pada masa kini.

9. Setakat ini, hutang defisit kerajaan dijangka akan terus melonjak susulan perbelanjaan besar yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi meringankan impak pandemik Covid-19 terhadap rakyat. Berjasa melihat ini merupakan waktu yang cukup genting bagi menjaga kebajikan rakyat maka pertambahan defisit merupakan sesuatu yang sukar dielak. Walaubagaimanapun, situasi defisit ini tidak sesuai berterusan dalam jangka masa yang panjang dan langkah mitigasi yang awal serta cekap perlu dilaksanakan bagi memastikan kestabilan fiskal kerajaan ini.

10. Melihat kepada unjuran ekonomi ini, maka Berjasa mencadangkan 5 teras utama belanjawan kerajaan bagi memastikan ekonomi negara kembali ke tahap pra-krisis serta dalam pada masa yang sama terus mampan menghadapi cabaran masa hadapan.

TERAS PERTAMA: PELAN PEMULIHAN PANDEMIK

Saudara dan Saudari,

11. Pandemik Covid-19 sepatutnya telah membuka mata kita akan kepentingan untuk negara memfokuskan penambahbaikan perkhidmatan kesihatan yang cekap dan akses kesihatan yang menyeluruh di setiap pelosok negeri. Berjasa menyarankan kerajaan memfokuskan usaha untuk menaiktaraf hospital-hospital daerah terpilih kepada taraf hospital universiti dan pusat penyelidikan.

12. Penaiktarafan ini penting bagi menambah kapasiti dan menambah bilangan kepakaran di hospital-hospital daerah. Perkara ini bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan perkhidmatan kesihatan awam ketika pandemik Covid-19 ini malah dapat menyelesaikan isu ‘evergreen’ dalam kalangan para pegawai perubatan (MO) kontrak yang berlanjutan. Bagi menghargai jasa dan pengorbanan para petugas barisan hadapan, para pegawai perubatan khususnya yang berstatus kontrak perlu ditawarkan perjawatan tetap.

13. Berjasa mengesyorkan kepada pihak kerajaan untuk membantu peniaga-peniaga kecil dengan menyediakan geran berjumlah RM5000 bagi menampung kos tetap perniagaan mereka yang ternyata terkesan akibat pandemik Covid-19 ini. Kerajaan juga perlu menambah elaun bantuan sara hidup BSH kepada RM5000 kepada setiap isi rumah yang layak bagi meringankan beban kelompok ini dalam usaha menyuntik dana dalam kitaran ekonomi.

14. Berjasa mendesak agar kerajaan tidak meneruskan perancangan untuk merombak penjawatan dan sistem pencen penjawat awam. Penjawatan tetap dan pencen yang terjamin merupakan tarikan sebenar sektor awam yang menyebabkan kerajaan selama ini mampu menarik pekerja-pekerja berkualiti dan berinovatif.

15. Kerajaan perlu memulakan langkah ke arah melakukan transformasi digital perkhidmatan serta gerak kerja kementerian-kementerian utama bagi meningkatkan produktiviti serta mutu perkhidmatan yang disediakan. Transformasi digital ini membolehkan kerajaan untuk membuka peluang pekerjaan sektor awam di luar Putrajaya. Transformasi digital ini juga akan membuka lebih banyak inovasi terhadap budaya kerja penjawat awam yang lebih sihat dan bersesuaian dan mesra keluarga seperti ‘bekerja dari rumah’ dan waktu kerja yang anjal serta fleksibel bagi ibu bapa yang mempunyai tanggungjawab menyara anak-anak.

TERAS KEDUA: PEMANTAPAN TARAF HIDUP RAKYAT

Saudara dan Saudari,

16. Beberapa strategi lestari bagi memastikan pemantapan taraf hidup rakyat dapat direalisasikan. Berjasa memandang dari kaca mata lebih besar dan kehadapan dalam mendepani isu soal taraf hidup rakyat.

Strategi 1: ‘Urbanisasi Felda dan Luar Bandar’

17. Berjasa mencadangkan kepada kerajaan bagi memberikan tumpuan terhadap proses pemulihan ekonomi FELDA dengan memberi nafas baru dengan suntikan modal dan perlu bebas dari sentimen politik kepartian.

18. Kerajaan perlu memberikan suntikan dana untuk meningkat kualiti kesalinghubungan (‘connectivity’) FELDA dan bandar-bandar serta pekan tedekat. Hal ini termasuk memberi peruntukan besar untuk mambaiki jalan-jalan serta memperkenalkan pengangkutan awam yang lebih efisien di kawasan FELDA.

19. Bagi memperkasa jarisan keterhubungan antara negeri Berjasa mencadangkan lebih banyak stesen kereta api ECRL melalui kawasan-kawasan FELDA di sebelah Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan. Elemen keterhubungan ini akan menyuntik pengagihan sektor ekonomi secara lebih meluas.

20. Dalam pada masa yang sama kerajaan perlu memberikan fokus terhadap projek pembangunan dan perumahan generasi ketiga FELDA agar kawasan-kawasan tanah FELDA dapat dimajukan. Sehubungan dengan itu, Berjasa mencadangkan kerajaan memberikan bantuan khas terhadap generasi ketiga FELDA dari sudut peluang pekerjaan di dalam FGV dan badan-badan berkaitan FELDA lain serta memperkenalkan skim bantuan perumahan kepada generasi dalam projek-projek perumahan FELDA.

Strategi 2: Pengukuhan Industri Pertanian dan Makanan

21. Tulang belakang kepada pemantapan ekonomi luar bandar bergantung pada kekuatan industri pertanian. Dalam Belanjawan tahun 2019, industri pertanian dan makanan telah menerima impak yang begitu besar apabila kerajaan memutuskan untuk menghapuskan elaun petani dan nelayan serta insentif-insentif lain yang melibatkan galakan golongan petani untuk menambahkan hasil.

22. Berjasa mencadangkan beberapa strategi bagi membantu meningkatkan hasil serta pengeluaran industri pertanian dan makanan. Selain itu, industri pertanian juga terbukti merupakan industri yang paling kurang menerima impak.

23. Ini dibuktikan melalui catatan sejarah berkenaan siri-siri kegawatan ekonomi yang pernah kita lalui. Justeru, meningkatkan ketahanan industri ini merupakan strategi penting oleh kerajaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

24. Langkah pertama ialah mengembalikan semula elaun nelayan dan petani yang telah dihapuskan. Elaun ini penting bagi memastikan nelayan dan petani sekurang-kurangnya mempunyai pendapatan yang selamat untuk menampung mereka ketika musim tengkujuh dan kemarau. Kerajaan di sesetengah negara lain telah memperkenalkan skim insurans petani dan nelayan bagi membantu golongan ini menghadapi musim yang sukar. Inisiatif ini juga boleh diperkenalkan dalam Belanjawan 2021 untuk memastikan golongan petani terus dipelihara serta menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian.

25. Langkah kedua adalah menggalakkan penglibatan golongan muda dalam industri pertanian dan makanan. Kerajaan perlu memberikan insentif dalam bentuk pinjaman tanpa faedah kepada golongan muda lepasan pengajian tinggi untuk melibatkan diri dalam industri pertanian dan makanan. Penglibatan golongan muda dalam bidang ini akan dapat membawa lebih banyak inovasi dan idea baharu bagi memastikan industri ini bertambah produktif dan effisien.

Strategi 3: Menyediakan pinjaman/modal atau insentif untuk menembusi industri berimpak tinggi

26. Sebahagian besar ekonomi negara adalah terdiri daripada industri perkhidmatan dan teknologi tinggi. Bagi merancakkan sektor ini, maka Berjasa mencadangkan suntikan modal usahawan bumiputra yang ingin membuka firma guaman, firma perakaunan, perkhidmatan IT seperti ‘Data Specialist’, Robotik dan industri pesawat udara kawalan jauh tanpan juruterbang atau dron.

27. Majoriti graduan universiti adalah mereka yang banyak terlibat di dalam sektor ini maka peluang pekerjaan dan peluang perniagaan yang banyak perlu disediakan dalam bidang ini. Bidang ini telah dikuasai oleh masyarakat Cina kerana mereka mempunyai modal yang besar untuk menembusi bidang ini. Bantuan terhadap usahawan bumiputra dalam bidang ini juga dapat mengurangkan jumlah pengangguran siswazah yang banyak tertumpu dalam bidang professional ini. Bajet 2019 yang banyak diperuntukkan dalam bidang e-Games sepatutnya disalurkan ke dalam bidang kritikal seperti ini bagi memastikan golongan muda dan perniagaan bersedia untuk menghadapi revolusi industri keempat.

Strategi 4: Membantu golongan ‘first home buyer’ dan penyewa

28. Sektor perumahan merupakan sektor ekonomi yang kritikal kerana sektor ini melibatkan pelaburan besar dan menjana sebahagian besar pendapatan ekonomi sesebuah negara.

Dalam keadaan realiti hari ini, sektor perumahan telah dipelopori dengan pembinaan rumah berskala mewah dan hanya mampu dibeli oleh golongan berpendapatan tinggi. Perkara ini akhirnya menyebabkan berlaku pertambahan dalam jurang kekayaan atau ‘wealth inequality’ antara strata pendapatan di negara ini. Kerajaan perlu bertindak drastik bagi memastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina dan lebih ramai rakyat mampu menikmati kemudahan pinjaman awam dan swasta.

29. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menambah lebih banyak dana yang diperuntukan untuk memberi pinjaman perumahan kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah. Walaubagaimanapun, syarat kelayakan peminjam perlu diperketat untuk mengelak masalah lebih besar kepada kewangan kerajaan. Antara langkah lain yang boleh diambil ialah kerajaan boleh menjamin pinjaman perumahan daripada bank-bank untuk memastikan peminjam menikmati kadar bunga yang lebih rendah dan berpatutan. Perkara ini dapat meningkatkan keyakinan bank dan menambah lebih banyak pinjaman perumahan diluluskan

Strategi 5: Pengupayaan Perniagaan Atas Talian

30. Melihat kepada situasi semasa yang menunjukkan peningkatan terhadap perniagaan atas talian terutamanya oleh generasi muda negara, maka Berjasa mencadangkan beberapa insentif untuk memangkin perniagaan atas talian. Pertama, kerajaan menyediakan geran usahawan atas talian bernilai RM500 ringgit kepada para usahawan yang mahu menceburi bidang perniagaan atas talian. Insentif ini akan memberi manfaat kepada golongan muda yang baru menceburi bidang perniagaan atas talian ini.

40. Kedua, kerajaan menyediakan ruang niaga atas talian globl yang diselenggara oleh kementerian secara percuma bagi membolehkan para usahawan berdaftar memasarkan produk mereka. Hal ini akan memberi kemudahan kepada para usahawan mendapatkan platform yang lebih kukuh dan lebar bagi memasarkan perniagaan mereka.

Strategi 6: Mengurangkan pengambilan minuman beralkohol dalam kalangan masyarakat

41. Instrumen pertama ialah pelaksanaan cukai khas alkohol dan judi ke atas industri arak dan judi. Pengenalan cukai ini amat perlu melihat kepada impak negatif yang dibawa oleh kedua-dua industri ini ke dalam sosio masyarakat. Cukai ini perlu dibayar oleh perniagaan bersama cukai korporat perniagaan sedia ada. Cukai SST bagi alkohol juga perlu dinaikkan melebihi 20%. Perkara ini bertujuan untuk mengurangkan permintaan (‘demand’) terhadap produk dari industri ini.

42. Instrumen kedua ialah menggubal akta Anti-Cross Industry Investment (ACI). ACI kebiasaannya oleh kerajaan bagi mengelakkan berlaku monopoli dan menggalakkan persaingan melalui lebihan keuntungan dilaburkan ke dalam industri lain. ACI bertujuan untuk mengekang keuntungan sesuatu syarikat dalam satu industri tidak dilaburkan ke dalam industri yang lain. Dalam kes ini, keuntungan di dalam industri judi dan arak tidak sepatutnya digunakan untuk mengembangkan perniagaan itu ke industri lain seperti hartanah, makanan, tenaga dan sebagainya. Kepentingan akta ini adalah bagi menawarkan satu padang yang sama kepada Bumiputra untuk bersaing dengan perniagaan bukan Bumiputra/bukan Muslim yang terlibat dalam industri arak dan judi sedia ada.

43. Instrumen ketiga adalah menghentikan pengeluaran lesen baharu perniagaan arak dan judi. Perkara ini bagi memastikan tiada perniagaan baharu yang dapat mengaut keuntungan daripada industri ini. Restoran yang menyediakan makanan seperti konsep ‘fine dining’ juga perlu dibatalkan perniagaan alkohol mereka bagi mengasingkan budaya arak daripada kehidupan seharian manusia. Hanya ‘Bar’ atau kedai khas sahaja yang boleh beroperasi menyediakan minuman alkohol.

44. Mini Market atau kedai serbaneka yang menjual makanan halal seperti Seven Eleven, Speedmart dan sebagainya perlu dihalang daripada menjual alkohol. Perkara ini dapat mengelakkan polemik juruwang Muslim yang enggan melayan pelanggan yang membeli minuman beralkohol

Strategi 7: Memperkasa sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur

45. Bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta menempatkan Kuala Lumpur sebagai metropolitan tumpuan dunia, kerajaan perlu meneruskan projek MRT 3. Projek MRT 3 ini akan melengkapkan jaringan pengangkutan bersepadu di Kuala Lumpur dan meningkatkan kesalinghubungan seluruh bandar Kuala Lumpur. Projek MRT 3 ini juga bakal mewujudkan ribuan peluang pekerjaan hasil daripada projek itu sendiri dan kesan akibat peningkatan kesalinghubungan pengangkutan yang akan mengurangkan pengangguran disebabkan geografi. Perkara ini juga akan mengurangkan beban kos sara hidup bandar yang dihadapi oleh golongan miskin dan berpendapatan sederhana rakyat di Kuala Lumpur.

46. Kecekapan pengangkutan awam sentiasa menjadi isu utama pengguna dalam bandar. Berjasa mencadangkan Pelan Tindakan Reformasi Kecekapan Pengangkutan Awam bagi mengenalpasti punca dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh badan infrastruktur yang bertanggungjawab. Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Wilayah bertanggungjawab dalam memastikan urustadbir badan infrastruktur awam ini mempunyai tahap integriti dan urustadbir yang baik.

Strategi 8: Mewujudkan pencen sosial dan pencen khas ‘Gig Economy’

47. Malaysia sedang menuju ke arah negara tua. Negara tua adalah negara yang mempunyai majoriti rakyat berumur 60 tahun dan ke atas berbanding 60 tahun ke bawah. Bagi memastikan warga tua mempunyai pendapatan yang mencukupi ketika persaraan, selain pencen yang disediakan oleh majikan, adalah dicadangkan kerajaan mewujudkan sistem pencen sosial yang mana telah banyak diperkenalkan oleh banyak negara yang mempunyai strata penduduk warga tua yang tinggi seperti Jepun, United Kingdom dan Perancis. Pencen sosial adalah pencen yang disediakan oleh kerajaan kepada semua tidak kira pekerjaan atau sektor mereka berkerja. Sepanjang tempoh berkerja, rakyat akan menyumbang peratusan kecil gaji mereka ke dalam tabung pencen sosial dan kemudian mereka akan menerima sejumlah pendapatan tetap ketika persaraan mereka.

48. Berjasa juga turut mencadangkan agar Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) untuk menceburi bidang penjagaan orang-orang tua (‘elderly care’) seperti membina rumah-rumah penjagaan orang-orang tua dan membuat kolaboratif pintar dengan badan-badan bukan kerajaan untuk menyediakan pakej penjagaan kesihatan fizikal, mental dan rohani sebagai salah satu bentuk persediaan negara kearah status negara tua menjelang tahun 2030.

Strategi 9: Pemerkasaan sistem wakaf negara & pungutan zakat

49. Berjasa juga menggesa kerajaan untuk memberi penumpuan terhadap pengurusan tanah wakaf. Kerajaan perlu menyuntik modal tambahan kepada tanah-tanah wakaf ini untuk dibangunkan bagi tujuan pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan umat Islam. Modal tambahan ini penting bagi memastikan tanah wakaf tidak menjadi terbiar dan potensinya tidak dituai dengan baik.

50. Mendepani isu Tanah Rizab Melayu pula, Berjasa mencadangkan kerajaan menggantikan tanah rizab Melayu yang hilang dengan tanah yang senilai dengannya serta mewakafkannya bagi kegunaan umum.

51. Sebuah pangkalan data (‘database’) yang komprehensif untuk tanah wakaf diseluruh negara perlu dwujudkan bagi memastikan sistem tanah wakaf yang efisien.

52. Selain itu, bagi menghakupayakan tanah wakaf bagi golongan kurang berkemampuan, Berjasa mencadangkan pelancaran program ‘Rumah Wakaf’ melalui tabung dana wakaf khas. Program ini akan memberi manfaat kepada golongan gelandangan diseluruh negara.

53. Berjasa melihat sudah tiba masanya kerajaan memberikan tumpuan ke arah memastikan pungutan dan pengagihan zakat yang efisien dan lestari. Kerajaan perlu memulakan langkah untuk mewajibkan bayaran zakat oleh setiap individu Islam yang berkemampuan dan mengutip zakat pendapatan daripada perniagaan yang layak membayar zakat.

54. Berjasa menegaskan bahawa pungutan zakat perlu digunakan ke arah projek sifar kemiskinan umat Islam serta pembangunan masa depan generasi kepimpinan Islam pada masa hadapan. Pungutan zakat juga perlu diagihkan melalui projek pemantapan ekonomi umat Islam sebagai salah satu langkah bagi memastikan jurang ekonomi antara kaum dapat dikurangkan sekaligus menguntungkan umat Islam secara keseluruhannya.

55. Dua aspek penambahbaikan berkenaan dengan agihan zakat. Berjasa mencadangkan penambahan kakitangan zakat yang memfokuskan penilaian secara berterusan golongan asnaf yang diberi bantuan secara langsung, berbanding penilaian yang dibuat melalui pemimpin-pemimpin tempatan. Hal ini membolehkan lebih banyak lagi agihan zakat dapat disalurkan dan menolak ketirisan dipelbagai lapisan.

56. Melihat peri pentingnya penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat, Majlis Agama Islam Negeri-negeri juga perlu diperuntukkan lebih dana untuk menyelaras kerja-kerja publisiti dalam media sosial. Hal ini dapat membantu dari sudut ketersampaian informasi gerak kerja bantuan dan penyaluran dana.

TERAS KETIGA: PENGUKUHAN FISKAL KERAJAAN

57. Defisit fiscal negara dijangka meningkat antara 5.8% hingga 6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Antara fakto terbesar adalah berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia. Krisis ekonomi natijah daripada pandemik Covid-19 juga turu memberi tekanan terhadap kerajaan untuk terus menambah hutang bagi memastikan kebajikan rakyat terus dibela.

58. Walaubagaimanapun, Berjasa melihat tahap hutang yang semakin tinggi bakal mengundang krisis kepada generasi hadapan. Kerajaan memerlukan kewangan yang stabil bagi memastikan negara tidak terjebak dalam krisis hutang dunia yang memusnahkan ekonomi negara-negara dunia ketiga.

59. Pendapatan kerajaan melalui hasil cukai sentiasa menjadi tumpuan. Negara kita pernah melaksanakan sistem percukaian efektif yang dinamakan sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan atau lebih popular dengan GST. Sistem cukai ini telah dilaksanakan lebih dari 160 buah negara di serata dunia dengan pelbagai peratus cukai yang dikenakan. Malaysia bermula 1April 2015 mengenakan cukai GST pada kadar 6% sehinggalah dimansuhkan selepas kerajaan Pakatan Harapan memerintah.

60. Berjasa mencadangkan agar kerajaan membuat kajian menyeluruh tentang pelaksanaan semula semula Cukai Barangan dan Jualan (GST) pada kadar yang lebih rendah iaitu sebanyak 3% selepas situasi ekonomi negara memulih pasca dampak pandemic Covid-19. Sekiranya kutipan GST ketika pada kadar yang diperkenalkan iaitu 6% pada 3 tahun lalu membawa hasil hampir RM42 Billion kepada kerajaan, Berjasa menjangkakan pengenalan semua ini akan membawa sekurang-kurangnya RM20 Billion pendapatan kepada kerajaan persekutuan.

61. Malah sekiranya perlaksaan sistem GST yang baharu ini lebih tersusun dan rapi, dijangka pendapatan kerajaan boleh mencecah RM35 Billion setahun. Berjasa mencadangkan perlaksaan GST yang baharu dijalankan secara berperingkat sebelum sistem ini dikuatkuasa secara menyeluruh. Persediaan kerajaan hendaklah memasukkan kempen pendidikan berkenaan sistem percukaian ini.

62. Hal ini bertujuan untuk memastikan informasi yang tepat dapat disampaikan dan perniagaan-perniagaan dapat bersedia dengan sistem GST ini. Sekiranya kajian ini positif, Berjasa mencadangkan agar peniaga-peniaga kecil diberi subsidi oleh kerajaan untuk menyediakan sistem kutipan GST ini serta kos konsultasi.

63. Berjasa juga melihat keperluan untuk mengenakan kadar berasingan terhadap barangan berbahaya kepada kesihatan seperti rokok dan alkohol dikenakan GST berkadar lebih tinggi iaitu 7% bagi memastikan pengambilan daripada barang ini dapat dikurangkan dan impak negatif terhadap pengambilannya dapat ditampung oleh hasil GST.

64. Manakala barangan keperluan harian seperti bahan mentah makanan dan barangan lain dicadangkan untuk tidak dikenakan sebarang GST atau 0%.

65. Berjasa juga mencadangkan supaya kerajaan segera memperkenalkan cukai digital khas kepada syarikat besar multinasional seperti Google, Facebook, Grab dan banyak lagi yang telah mengaut keuntungan berbillion ringgit setahun hasil aktiviti perdagangan atas talian.

66. Menyedari bahawa hakikatnya, pelaksanaan sistem percukaian digital ini agak sukar secara teori untuk dikuatkuasakan ke atas mereka, Berjasa mencadangkan kadar cukai diperkenal ke atas keuntungan yang diumumkan setiap tahun dengan pengawasan ketat serta denda maksima terhadap mana-mana syarikat yang membuat sebarang percubaan perakauanan kreatif (‘creative accounting’) untuk mengelak daripada membayar jumlah cukai yang sebenar.

Teras keempat: Agenda Ekonomi Hijau

67. Berjasa menggesa semua kerajaan persekutuan menumpukan perhatian ke arah kelestarian alam sekitar dan agenda hijau. Krisis Air di Selangor dan Jerebu merupakan dua krisis alam sekitar terdekat yang telah merugikan negara bukan sahaja dari sudut ekonomi malah kesihatan serta taraf hidup rakyat. Jutaan pengguna yang terdiri dari rakyat marhaen terkesan dengan krisis ini.

68. Berjasa menyeru kerajaan menyediakan insentif berupa potongan cukai terhadap syarikat-syarikat swasta yang melabur dalam teknologi hijau, berjaya menjimatkan penggunaan tenaga di premis-premis perniagaan dan pejabat. Berjasa turut mengisytihar perang terhadap mana-mana syarikat industri yang terbabit dalam aktiviti pencemaran alam sekitar dengan meminda akta sedia ada kepada denda dan hukuman lebih tinggi serta menguatkuasakan tindakan undang-undang yang ketat.

69. Berjasa juga mencadangkan kepada kerajaan agar memberi bonus tambahan kepada premis-premis kerajaan seperti sekolah-sekolah, hospital-hospital dan lain-lain yang berjaya mengawal penggunaan tenaga elektrik tanpa mengurangkan produktiviti mereka.

70. Berjasa juga menggesa kerajaan menurunkan harga tarif elektrik domestik dengan mengurangkan dominasi IPP. Kerajaan perlu memberi insentif kepada rumah-rumah, premis-premis dan pejabat yang melabur ke dalam tenaga solar. Setiap unit tenaga solar yang disumbang ke dalam grid nasional akan diberi potongan tarik pada kadar tertentu oleh kerajaan. Perkara ini bukan sahaja menjimatkan penggunaan tenaga malah memberi persaingan kepada IPP.

71. Kerajaan juga perlu menyediakan geran dan pinjaman tanpa faedah kepada syarikat-syarikat IKS yang menceburkan diri dalam teknologi hijau. Perkara ini akan menggalakkan inovasi ke arah memastikan Malaysia muncul negara karbon terendah di rantau Asia.

TERAS KELIMA: INTEGRITI DAN URUSTADBIR PERBENDAHARAAN NEGARA

72. Menyedari hakikat bahawa urustadbir yang baik atau ‘good governance’ merupakan elemen terpenting dalam menguruskan amanah kekayaan perbendaharan negara.

73. Malaysia merupakan negara bertuah kerana memiliki sumber alam yang menjana ekonomi negara. Dari hasil Petroleum, Sawit, Getah dan Industri pelbagai kita seharusnya bersyukur dan sebagai kerajaan yang diamanahkan untuk menguruskan perbendaharaan negara adalah amat penting memastikan pengagihan pendapatan negara dapat dilaksanakan secara penuh hikmah melalui urustadbir yang baik serta kebijaksanaan dasar dan polisi.

74. Hasil kekayaan negara tidak boleh ditabur hanya di bandar-bandar besar. Serta tidak boleh hanya berlegar di antara negeri-negeri yang diperintah parti yang membentuk kerajaan persekutuan semata-mata. Negeri-negeri yang sedikit terkebelakang dalam pengembangan sektor ekonomi perlu dibantu.

75. Sabah dan Sarawak tidak boleh dikesampingkan tanpa sebuah perancangan yang tidak teliti. Berjasa mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi dan Pembangunan Sabah & Sarawak diwujudkan segera bagi memastikan pembahagian kek ekonomi yang seimbang terutama di kawasan luar bandar Sabah & Sarawak.

76. Tata kelola perbendaharaan negara mesti berada pada tahap integriti yang tertinggi. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan dana perbendaharaan negara dan tindak tegas perlu diambil berdasarkan rekod Laporan Audit Tahunan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

77. Berjasa mencadangkan pemerkasaan integriti dalam kalangan penjawat awam termasuklah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Berkenaan Integriti Kerajaan bagi membanteras gejala rasuah yang berleluasa.

Penutup

Saudara dan Saudari,

78. Akhir sekali, Berjasa mengajak semua pihak untuk menyedari hakikat besarnya tanggungjawab serta amanah yang dipikul oleh setiap lapisan masyarakat dalam menjayakan agenda pembinaan sebuah negara yang bukan sahaja sejahtera dari sudut ekonomi, politik dan sosial, malah membina sebuah watan yang berdaulat, disegani dan akhirnya melahirkan sebuah ketamadunan yang berwibawa serta unggul di persada dunia.

79. Semuanya bermula dengan sebuah cita-cita dan jiwa yang besar sebagai rakyat di negara Malaysia yang bertuah. Seluruh rakyat menumpahkan taat setia kepada agama, bangsa dan negara, mempertahankan dasar dan polisi yang diasaskan melalui kebijaksanaan dan kewibawaan kepimpinan negara, serta mengangkat ketinggian maruah dan prinsip, menjulang kehalusan budi pekerti demi membina watan berdaulat. Sekian.

“Belanjawan Hikmah: Rakyat Dijaga, Watan Dibina”

Majlis Tindakan Ekonomi Parti BERJASA Malaysia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button