Dunia

Denmark kesan mutasi COVID-19 dari cerpelai ke manusia, 12 dijangkiti

Siasat kepentingan epidemiologi, virologi serta bunuh populasi cerpelai

ANKARA, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Denmark akan menghapuskan semua populasi cerpelai selepas versi coronavirus yang bermutasi dijumpai di negara Nordic, kata Perdana Menterinya, Metten Frederiksen. 

Dia pada Rabu berkata, penularan virus versi baharu daripada cerpelai ke manusia dapat mempengaruhi keberkesanan vaksin yang dijangka dikeluarkan tidak lama lagi.

Serentak itu, pihaknya telah memberitahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perkembangan berkenaan, dan agensi berkenaan meminta masa untuk menyemak semula maklumat berkenaan. 

Kerajaan Denmark mendakwa bahawa virus yang bermutasi dari cerpelai telah menular ke manusia dan setakat ini seramai 12 orang dikesan dijangkiti. 

Sementara itu, jurucakap WHO mengesahkan diberitahu oleh Denmark mengenai sejumlah kes yang dijangkiti coronavirus daripada cerpelai dengan beberapa perubahan genetik di dalam virus. 

“Pihak berkuasa Denmark sedang menyiasat kepentingan epidemiologi dan virologi penemuan ini serta membunuh populasi cerpelai. 

“Kita berhubung dengan mereka untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini,” katanya.

Kerana bulu yang tebal dan lebat, cerpelai sangat diinginkan di beberapa negara Eropah untuk menghasilkan pakaian tetapi kumpulan hak asasi haiwan menentang penggunaan itu. 

Kerajaan Denmark telah berjanji untuk memberi ganti rugi kepada penternak atas kehilangan pendapatan dan memberi jaminan memberikan perlindungan penuh ke atas semua kos ditetapkan. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button