Dunia

Kluster pertama Omicron di Thailand

Kes dikesan dari pasangan lakukan perjalanan dari Belgium

BANGKOK, 20 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Thailand melaporkan kluster tempatan pertama jangkitan COVID-19 daripada varian baharu, Omicron di wilayah Kalasin timur laut negara ini.

Jurucakap pasukan petugas COVID-19 negara, Apisamai Srirangsan berkata, terdapat 21 kes jangkitan baharu dilaporkan daripada kluster Kalasin.

Jangkitan itu didakwa dikesan daripada pasangan yang melakukan perjalanan dari Belgium menerusi skim Test & Go – yang mengecualikan kuarantin untuk ketibaan yang lengkap divaksin.

Srirangsan berkata, kedua-dua kes telah diuji negatif jangkitan sebelum melakukan perjalan dan selepas tiba di Thailand pada awal Disember.

“Menjelang 15 Disember, mereka mula mengalami simptom dan diuji positif dan kemudiannya disahkan mempunyai varian Omicron,” katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika ibu negara Thailand, Bangkok membatalkan aktiviti sambutan Tahun Baru 2022 di bawah anjuran kerajaan, termasuk upacara berdoa di tengah malam.

Bagaimanapun, upacara bunga api dan mengira detik tahun baru anjuran pusat beli-belah masih diteruskan, tetapi memerlukan bukti vaksinasi serta keputusan ujian saringan.

Kementerian Kesihatan Thailand sebelum ini juga bakal memperkenalkan dos penggalak keempat untuk kakitangan perubatan.

Setakat ini, Thailand mempunyai 205 kes jangkitan daripada varian Omicron, kebanyakannya berpunca daripada kemasukan warga asing. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button