Kedai di Indonesia bergabung boikot produk Perancis
Gantikan barangan Perancis dengan produk perusahaan kecil, sederahana tempatan

JAKARTA, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Beberapa kedai serbaneka di Indonesia bergabung memboikot semua produk buatan Perancis sebagai protes terhadap tindakan anti-Islam dan retorik oleh negara itu.
Di wilayah Jawa Timur dan Kalimantan Barat, sebuah kedai serbaneka yang berpusat di bandar Pasuruan mengeluarkan semua produk Perancis daripada 180 rangkaiannya untuk disimpan di gudang.
Timbalan Pengarah kedai rangkaian itu, Ahmad Edy Amin berkata, penarikan produk berkenaan membabitkan susu formula, biskut dan barangan kosmetik.
“Kedai kami dibangunkan dan dikenali dalam kalangan pelanggan Islam. Tindakan kami juga disokong rata-rata pelanggan yang turut mengutuk ucapan Presiden Emmanuel Macron,” katanya.
Macron menuduh Islam sebagai agama di dalam krisis, selain mempertahankan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad sehingga membawa tindakan boikot besar-besaran oleh masyarakat antarabangsa.
Walaupun mengalami kerugian, Ahmad Edy berkata, pihak pengurusan tetap kekal pendirian untuk teruskan boikot barangan Perancis sebagai tanda solidariti dengan umat Islam lain di seluruh dunia.
Turut sama bertindak demikian adalah rangkaian lain iaitu Koperasi Syariah di bandar Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.
Pemiliknya, Muhammad Hidayat Hanis berkata, antara barangan yang diboikot adalah air minuman dan produk kosmetik.
“Kita menggantikan barangan berkenaan dengan produk tempatan yang dihasilkan oleh perusahaan kecil dan sederhana,” katanya. – Agensi