Berita Utama

Kerajaan belanja RM130 juta untuk PRN Sabah: Takiyuddin

Kos termasuk peralatan ikut garis panduan cegah COVID-19

KUALA LUMPUR, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis  – Sebanyak RM130 juta dibelanjakan bagi membiayai kos pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, perbelanjaan itu merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, keperluan peralatan dan sistem teknologi maklumat, logistik, elaun petugas pilihan raya dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan.

“Perbelanjaan ini turut mengambil kira keperluan peralatan mengikut garis panduan pencegahan COVID-19,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan kos PRN Sabah baru-baru ini.

Berhubung soalan tambahan Lim mengenai kesediaan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat ini, Takiyuddin berkata, badan pengurus pilihan raya itu telah bersiap sedia dengan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau berkata, garis panduan yang disediakan itu disesuaikan selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa di bawah Akta 342 yang telah dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan seperti yang dilaksanakan dalam pilihan raya sebelumnya iaitu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, PRK Slim dan PRN Sabah.

Antara langkah pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan adalah seperti pembersihan dan sanitasi di semua premis yang dikenal pasti akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan pilihan raya, kawalan kehadiran, penjarakan fizikal dan saringan suhu badan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button