Berita Utama

Syarikat seludup masuk sisa elektronik dalam negara didakwa

JAS tahan 151 kontena pengimportan haram buangan terjadual dengan 67 daripadanya dihantar pulang

BANGI, 13 Safar 1443H, Isnin – Sebuah syarikat buangan terjadual berpangkalan di Hong Kong yang terlibat dalam kes penahanan sebuah kontena oleh pihak berkuasa Malaysia pada Feb tahun ini (2021) telah didakwa dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah Hong Kong kerana melanggar Waste Disposal Ordinance (WDO).

Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, Union Fortune Limited didakwa di Mahkamah Majistret Fanling pada 14 Sept serta disabitkan kesalahan dan didenda sebanyak HKD13,000 (kira-kira RM7,000) kerana melanggar WDO.

“Sebuah kontena ditahan di Malaysia pada 21 Feb lalu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, hasil kerjasama dan perkongsian maklumat antara agensi penguat kuasa negara dan Hong Kong mengenai aktiviti pergerakan rentas sempadan secara haram.

“Kontena tersebut mengandungi bahan buangan terjadual sisa elektrik dan elektronik (e-waste) iaitu printed circuit boards (PCB) yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“PCB tersebut telah masuk ke Malaysia tanpa mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Konvensyen Basel Malaysia iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan diklasifikasikan sebagai pengimportan haram seperti yang termaktub dalam Artikel 9, Konvensyen Basel,”katanya.

Berdasarkan Konvensyen Basel mengenai kawalan pergerakan merentasi sempadan buangan berbahaya dan pelupusannya, negara pengeksport hendaklah mengemukakan notifikasi kepada negara pengimport dan mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport terlebih dahulu sebelum sebarang pergerakan merentasi sempadan dilaksanakan.

Susulan penahanan itu, Wan Abdul Latiff berkata, JAS telah mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada syarikat pengimport dan mengarahkan kontena tersebut dihantar balik ke tempat asal iaitu Hong Kong.

“Kontena tersebut telah dihantar pulang pada 8 April dan disahkan tiba di Hong Kong pada 6 Mei lalu,”katanya

JAS juga telah menghantar satu notifikasi di bawah Artikel 9, Konvensyen Basel kepada Pihak Berkuasa Konvensyen Basel Hong Kong iaitu Environmental Protection Department (EPD) berkaitan pergerakan merentas sempadan.

EPD telah menjalankan siasatan terhadap Union Fortune Limited yang membawa kepada pendakwaan tersebut.

Wan Abdul Latiff berkata, sehingga kini JAS berjaya menahan sebanyak 151 kontena pengimportan haram buangan terjadual dengan 67 kontena daripadanya telah dihantar pulang.

“JAS akan meneruskan kerjasama di peringkat antarabangsa dalam menangani dan membanteras penghantaran bahan buangan terjadual secara haram ke dalam negara,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button