Berita Utama

Kerajaan sedia nasihat Agong isytihar darurat di kawasan PRK, PRN

Daripada segi Perlembagaan adalah dibolehkan darurat diisytihar, elak penularan COVID-19

KUALA LUMPUR, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kerajaan sedia mempertimbangkan keperluan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) supaya mengisytiharkan darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi dan Sarawak, jika ia perlu dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia berikutan pilihan raya yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, Agong memiliki kuasa yang jelas untuk mengisytiharkan proklamasi darurat di seluruh negara atau mana-mana bahagian berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Baru-baru ini, seperti yang semua rakyat Malaysia maklum, kerajaan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan Perkara 150 ke seluruh negara disebabkan lebih 20 alasan yang diputuskan Kabinet.

“Jika dirasakan perlu, kerajaan akan memikirkan (beri nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong), kalau tidak keseluruhan (negara), atau mana-mana bahagian (kawasan tertentu untuk dilaksanakan darurat).

“Pokoknya, dari segi Perlembagaan, ia adalah dibolehkan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada kerajaan bercadang menghadap Yang di-Pertuan Agong sekali lagi bagi mendapatkan perkenan isytihar darurat di kawasan tertentu bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak berikutan penularan COVID-19.

Sementara itu, menjawab soalan asal Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan kos disalurkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN Sabah baru-baru ini, Takiyuddin berkata, ia membabitkan peruntukan sebanyak RM130 juta.

“Kos bagi pelaksanaan PRN Sabah oleh SPR adalah berjumlah RM130 juta yang merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, keperluan peralatan dan sistem komunikasi dan teknologi (ICT), logistik, elaun petugas pilihan raya serta keperluan lain yang berkaitan.

“Perbelanjaan ini turut mengambil kira keperluan peralatan mengikut garis panduan pencegahan COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button