Berita UtamaDunia

Lebih 800 penduduk Palestin hilang tempat tinggal angkara rejim Israel

Zionis ambil kesempatan tatkala dunia beri perhatian pemilihan Presiden AS

BAITULMAQDIS, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Lebih 800 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal akibat pendudukan haram Israel pada tahun ini.

Angka berkenaan sekali gus menjadikan antara jumlah tertinggi pengusiran rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Media B’Tselem melaporkan bahawa jumlah itu juga adalah tertinggi sejak 2016, yang mencatatkan seramai 1,500 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas rejim pengganas Israel memusnahkan hampir 80 kediaman orang Badwi Palestin dalam operasi yang jarang berlaku.

Jentolak Israel memusnahkan rumah rakyat Palestin di penempatan Badsa Humsa al-Bqai’a di Lembah Jordan utara pada Selasa.

Mengulas mengenai perkara itu, Perdana Menteri Palestin Mohammed Shtayyeh menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan terhadap usaha rejim Zionis mengusir warga Palestin dari tanah mereka.

“Israel memilih hari ini untuk melakukan kekejaman lain kerana seluruh dunia memberi perhatian kepada pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Menurut data yang dikumpulkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), pemusnahan penempatan Palestin dari segi jumlah struktur terjejas pada Selasa adalah terbesar sejak 19 Julai 2010. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button