Berita UtamaDunia

Negara haram Israel digesa henti musnah penempatan Palestin

Separuh rakyat Palestin hilang tempat tinggal adalah kanak-kanak

BRUSSELS, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kesatuan Eropah (EU) menggesa negara haram Israel berhenti memusnahkan penempatan Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Dalam satu kenyataan hari ini, kesatuan itu turut mendesak Israel menarik semula ugutan untuk merobohkan sekolah-sekolah Palestin, selain menggelarnya sebagai ‘penghalang menuju penyelesaian dua negara’.

Jurucakap Ketua Dasar Luar EU, Josep Borell mengeluarkan kenyataan itu dua hari selepas jentolak Israel merobohkan penempatan di sebuah kampung Badwi dekat Tubas di Lembah Jordan, mengakibatkan hampir 80 penduduknya kehilangan tempat tinggal.

Rejim pengganas Israel memberi alasan bahawa pemusnahan penempatan itu kononnya dibina secara haram di kawasan yang digunakan untuk latihan ketenteraaan.

Pada masa sama, EU berkata, separuh rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dalam pemusnahan itu adalah kanak-kanak.

“Pemusnahan berskala besar ini menegaskan sekali lagi trend penyitaan dan pembongkaran yang dikesali sejak awal tahun ini,” katanya.

Selain itu, katanya, Israel juga mengancam akan merampas 52 sekolah Palestin, termasuk satu di Ras Al-Teen di Tebing Barat, yang dibiayai bersama oleh EU dan negara-negara anggotanya.

“EU menggesa perlindungan terhadap anak-anak, termasuk memastikan hak mereka untuk mendapat pendidikan di persekitaran sekolah yang selamat dan terjamin.

“EU mengulangi seruannya kepada Israel supaya menghentikan semua pemusnahan seperti itu, termasuk struktur yang dibiayai oleh EU, khususnya mengambil kira kesan kemanusiaan dari pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button