Berita UtamaIstimewa

Pengusaha kilang haram sudah selesa, tak takut undang-undang?

Kenapa kerajaan negeri tidak guna kuasa untuk ambil tindakan?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kerajaan negeri Selangor digesa mengambil langkah drastik dengan menyaman, menarik lesen serta menutup 5,589 kilang di Selangor yang beroperasi tanpa kebenaran di negeri itu.

Walaupun kilang-kilang berkenaan mempunyai ‘lesen perniagaan sementara tetapi belum memenuhi syarat teknikal seperti status tanah, pengezonan atau kebenaran merancang’, namun bukan alasan untuk dibiarkan dan ‘ditutup sebelah mata’ oleh pihak kerajaan negeri. 

Pemerhati politik, Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, isu ini sudah lama berlarutan, sangat tidak logik jika tiada tindakan diambil. 

“Kenapa tidak menggunakan kuasa setelah amaran diberikan?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini. 

Lebih malang lagi, katanya, jika terdapat ‘politikus’ yang bertindak mempertahankan kilang-kilang haram ini sama seperti isu pekebun durian haram di Raub, Pahang. 

Bukan itu sahaja, walaupun tarikh pematuhan sudah tamat pada 30 September lepas, namun kerajaan negeri bersetuju untuk menyambungkannya sehingga 31 Disember 2020. 

“Kenapa perlu kerajaan negeri mempertahankan lagi tindakan salah ini? Di manakah integriti dan tadbir urus yang cekap?  

“Bagaimanakah kilang-kilang ini boleh beroperasi awal tanpa kelulusan? Apakah di sana terdapat unsur rasuah? Semua persoalan ini perlu dijawab dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, penyelesaian melalui ‘Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran’ yang ditukar nama kepada ‘Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor’ dilihat tidak menyelesaikan masalah. 

Kerajaan negeri sepatutnya mengambil langkah drastik supaya isu ini tidak berpanjangan dan mencalarkan imej dan reputasi Selangor sebagai sebuah negeri maju, tegas Ir Khoushaini.

“Kilang-kilang haram ini terus mengaut keuntungan, mereka sudah selesa dan tidak takut kepada undang-undang. Tindakan lebih tegas perlu diambil.

“Kilang-kilang yang operasi tanpa kebenaran ini perlu dihentikan segera,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 5,589 kilang tanpa kebenaran dikesan beroperasi di seluruh Selangor dengan 869 daripadanya berada di sekitar sungai.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, daripada 869 kilang tanpa kebenaran di sekitar sungai, sebahagian besarnya terletak di hilir sungai atau selepas muka sauk loji rawatan air (LRA).

Ng bagaimanapun seolah-olah berpihak dengan kilang-kilang tersebut apabila berkata bahawa kerajaan negeri berpandangan, kilang tanpa kebenaran wajar diberi peluang.

Disebabkan itu juga, Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran yang ditukar nama kepada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor yang berakhir 30 September lepas dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button