Berita Utama

UMNO sudah lapuk, nak bangkit mesti kembali pada PAS

BN jatuh kerana perpecahan dalaman yang tak diubati

BANGI, 9 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berpunca daripada jenamanya yang sudah lapuk dan kusam, kata Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS itu berkata, BN tiada sentuhan pembaharuan berbanding Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang lebih muda, baru dan menarik.

“Ia lebih kuat untuk menarik pengundi baru. Tua adalah kejatuhan,” kata Nik Abduh.

Selain itu, katanya, BN juga jatuh ekoran perpecahan dalaman yang tidak diubati. 

“Apabila anda masuk gelanggang dengan hati yang terpecah-pecah, anda tidak akan menang. Perpecahan adalah kekalahan.

“Dengan bebanan berat itu, ketika kempen PRU15 lepas, BN tiada kekuatan untuk menangkis segala serangan. Dari hari ke hari sehinggalah hari mengundi, BN amat kelihatan malap,” katanya.

Nik Mohamad Abduh berkata, untuk kembali bangkit, UMNO perlu kembali kepada Islam.

“Musibah adalah hukuman ringan, pengajaran, jalan taubat dan lebih hebat, meninggikan darjat. Hukuman berat hanyalah dengan musibah kematian. 

“UMNO terkena musibah pada PRU14, tetapi tidak mati. Justeru ia adalah pengajaran dan jalan taubat yang perlu dilalui.

“Sebenarnya UMNO telah menunjukkan tekad ke arah itu dan telah pun melakukan pindaan dalam perlembagaan parti mereka yang meletakkan Islam di tempat utama,” katanya.

Malangnya, kata Nik Mohamad Abduh, perpecahan dalaman, kekalutan perebutan kuasa di dalam kerajaan selepas PRU14 serta persaingan dengan parti Bersatu telah memalapkan usaha untuk meneguhkan semangat Islam di dalam UMNO.

“Adakah itu hipokrit? Allah-lah yang maha tahu. Saya tidak akan menghukum. Bagi saya, pilihan UMNO untuk bersama PH adalah tindakan terdesak akibat hilangnya keyakinan terhadap PN, bukan terhadap Islam,” katanya.

Pada masa sama, Nik Mohamad Abduh berpandangan, untuk UMNO bangkit, parti itu mesti bersama PAS sebagai rakan. 

“Apabila anda bertaubat dan ingin membaiki diri, anda perlu mendampingi rakan yang baik. Pesakit mesti bersama doktor. 

“Jika hanya bersama pesakit sepertinya, mereka akan saling mengeluh dan putus asa. Jika bersama bomoh serba tahu, dia akan diberi penawar beracun. Mati.

“Justeru UMNO mesti bersama PAS. Ia kerana PAS adalah lebih mendahului parti yang lain di dalam komitmennya untuk Islam,” katanya.

Tegasnya, UMNO ketika ini masih berpecah kepada dua kumpulan, namun persoalannya adalah kumpulan mana yang akan memimpin nanti.

“Saya konsisten mengajak mereka untuk bersama PAS membina negara. Antara pantang saya, masuk campur urusan dalaman orang.

“Segala salah faham boleh diselesaikan. Kemenangan besar bukan dengan membunuh, tetapi dicapai dengan perdamaian. Bukankah begitu ‘fathu Makkah’?

“Politik negara telah menzahirkan pelbagai kepelikan. Ia bermaksud tiada yang mustahil dalam politik. Biarlah kalau mulut kuat sembang. Jangan pula muka yang tersembam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button