Berita Utama

DAP semakin panik, pengundi Cina, India dijangka boikot PRN?

Ramai enggan keluar mengundi ekoran tak puas hati Kerajaan Madani gagal urus ekonomi

BANGI, 23 Muharam 1445H, Khamis – DAP didakwa semakin ‘panik’ susulan khuatir diboikot ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mendakwa, DAP semakin bimbang kerana pengundi Cina dan India dijangka enggan keluar mengundi kerana boikot.

“Dikatakan pengundi-pengundi Cina dan India terutama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan calon DAP dan PKR di seluruh negara, tidak berpuas hati dengan kerajaan Perpaduan ala Madani yang gagal menguruskan ekonomi dengan baik.

“Pengundi-pengundi Cina dan India sangat kecewa kerana pemulihan ekonomi seperti yang dicakap-cakap Perdana Menteri tidak menampakkan hasilnya.

“DAP akan diboikot, PKR juga akan diboikot!” dakwanya.

Razali mendakwa, antara pihak yang turut menyokong gerak kerja boikot ini adalah persatuan-persatuan dewan perniagaan Cina, peruncit dan pemborong Cina serta peniaga yang menyuarakan suara hati mereka tidak dipedulikan bahkan perniagaan pula semakin merosot.

Ekoran itu, dakwanya, jentera DAP mula panik menghantar mesej kepada kaum Cina dan India supaya keluar beramai-ramai untuk mengundi pada 12 Ogos ini.

“Menteri-menteri DAP, timbalan-timbalan menteri DAP, EXCO-EXCO lantikan DAP serta ahli majlis perbandaran lantikan DAP semakin bertungkus-lumus berceramah kelompok serta pergi rumah ke rumah, tetapi dikatakan tiada sambutan,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button