Berita Utama

Virus COVID-19 mungkin berlanjutan dua tahun

Rakyat perlu sokongan kerajaan, harap Belanjawan 2021 jadi penawar

BANGI, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis –  Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim hampir pasti impak wabak COVID-19 tidak akan berakhir tahun ini. 

Malah, beliau berkata, virus ini akan kekal untuk satu tempoh yang lama iaitu enam bulan hingga dua tahun akan datang. 

Katanya, virus ini juga kemungkinan akan menjadi sebahagian senarai penyakit dalam kehidupan manusia sangat tinggi.

Justeru, negara memerlukan pelan strategi kesihatan dan ekonomi jangka panjang yang menyeluruh kerana rakyat kini bergantung harap kepada kerajaan, katanya.

“Kita perlu kembali kepada sejarah krisis lalu untuk merombak sistem, undang-undang dan dasar sedia ada.

“Menjadi harapan supaya Belanjawan 2021, yang boleh dianggap sebagai ‘ibu segala belanjawan’ akan memberi ketenangan kepada setiap individu, keluarga, rakyat, pekerja dan ekonomi.

“Menjadi harapan ia juga akan membuka laluan kepada kerancakan semula industri dan ekonomi dengan membuka sempadan negara dan menyemak semula cukai pendapatan bagi mengurangkan beban kewangan,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan BHOnline, hari ini.

Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik, World Trade Center Associations (WTCA) itu juga berharap, Belanjawan 2021 yang bakal dibentang esok, menyediakan strategi bagi meningkatkan sekuriti makanan jangka panjang, merancakkan pelancongan domestik dan menambah peruntukan untuk memperkasakan sektor kesihatan.

Selain itu, ia juga perlu menyediakan skim ‘relief’ untuk kakitangan awam dan pekerja sektor swasta secara keseluruhan.

“Kita mengharapkan Belanjawan 2021 akan menyediakan insentif yang akan membuka ekonomi baharu yang akan mengambil alih ekonomi tradisional, selari dengan keperluan merangka pelan strategi sektor ekonomi dan kesihatan baharu.

“Rakyat kini mengharapkan sokongan padu untuk meneruskan survival. Diharap Belanjawan 2021 membawa penawar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button