Berita Utama

Yayasan Ikhlas mohon sumbangan hantar lagi 20,000 PPE ke Sabah, Selangor

I-Medik, TUDM turut sama agih 7,000 PPE di Hospital Tawau, Semporna

BANGI, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin, berhasrat untuk menyampaikan 20,000 lagi set peralatan perlindungan diri (PPE) ke Sabah dan Selangor bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri di sana. 

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir Kamaruddin Kassim berkata, sekurang-kurangnya RM800,000 lagi diperlukan untuk tujuan ini.

Katanya, 67,000 set PPE telah pun disalurkan kepada beberapa Jabatan Kesihatan Negeri lain antaranya Agensi Pengurusan Bencana Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Institut Kesihatan Negara (NIH).

“Pihak kami sangat berharap set PPE yang telah disalurkan dapat membantu petugas barisan hadapan kita yang sedang memerangi pandemik COVID-19 yang sedang meningkat,” katanya.

Terdahulu, Yayasan Ikhlas dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan Malaysia (I-Medik) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengagihkan 7,000 set PPE yang dianggarkan bernilai RM280,000.

Set PPE itu tiba di Hospital Tawau dan Semporna di Sabah pada Selasa (3 November).

“16 orang asnaf terlibat dalam menyiapkan set PPE ini. Mereka sanggup bekerja keras semata-mata untuk memastikan set PPE ini siap mengikut piawaian dan kualiti yang ditetapkan oleh KKM,” katanya.

Beliau berkata, dana yang diperoleh daripada orang ramai membantu pihak Yayasan Ikhlas menyiapkan 7,000 set PPE ini dalam tempoh empat hari. 

“Justeru pihak kami menyasarkan untuk menyampaikan lagi 20,000 set PPE ke Sabah dan Selangor,” katanya.

Orang ramai boleh menyampaikan sumbangan menerusi akaun Maybank Yayasan Ikhlas 5628 3463 6228 atau boleh menghubungi mereka di talian 03-8926 5954.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button