Dunia

2020 didakwa tahun terburuk buat Tebing Barat: PBB

689 premis Palestin dirobohkan pengganas Israel atas alasan tiada permit

GENEVA, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan 2020 sebagai tahun terburuk buat Tebing Barat yang diduduki, berikutan banyak kemusnahan membabitkan premis dan kediaman milik Palestin.

Pegawai Kemanusiaan PBB untuk wilayah Palestin, Yvonne Helle berkata, setakat tahun ini sahaja, sebanyak 689 struktur premis dirobohkan di Tebing Barat, termasuk Timur Baitulmaqdis.

Helle dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu menyebabkan 869 penduduk Palestin terpaksa dipindahkan, selepas rejim Israel mendakwa perobohan itu dibuat kerana tidak mempunyai permit.

Bagaimanapun, katanya, rakyat Palestin berdepan kesukaran untuk mendapatkan permit seperti yang ditetapkan ekoran diskriminasi dan syarat ketat dari Israel. 

“Perobohan adalah cara utama untuk (Israel) memaksa rakyat Palestin meninggalkan kediaman mereka. 

“Insiden pemindahan paksa terbesar dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini adalah pada Selasa lalu, membabitkan penduduk Palestin di Humsa Al Bqai’a, yang terletak di Lembah Jordan,” kata Helle.

Katanya, seramai 73 orang termasuk 41 kanak-kanak dipaksa berpindah oleh pihak berkuasa Israel selepas kediaman mereka dirobohkan, selain barangan serta harta turut dimusnahkan. 

Bahkan, 76 struktur premis Palestin dirobohkan – jumlah tertinggi sepanjang tempoh satu dekad lalu. 

Israel mula menjajah wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza pada tahun 1967. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button