Berita UtamaDunia

400 ditahan kes pemerdagangan kanak-kanak di Eropah

Pandemik COVID-19 tingkatkan jenayah dalam talian, ‘dark web’

BRUSSELS, 20 Rabiualwal 1442H, Jumaat – Agensi polis Kesatuan Eropah (EU), Europol, menahan hampir 400 orang dalam serbuan yang menyasarkan suspek pemerdagangan kanak-kanak di beberapa negara Eropah.

Europol dalam satu kenyataan, semalam mengatakan bahawa semasa serbuan – diselaraskan dengan Britain, Portugal, Sepanyol dan sembilan negara EU yang lain – sekurang-kurangnya 388 orang ditangkap serta 249 mangsa yang berpotensi dikenal pasti, di antaranya 61 disahkan sebagai kanak-kanak di bawah umur.

Operasi yang dilakukan pada separuh pertama Oktober, menyasarkan kumpulan teratur yang menyeludup anak-anak merentasi sempadan Eropah untuk eksploitasi seksual atau buruh serta meminta sedekah.

Europol mengatakan bahawa kanak-kanak itu juga terpaksa melakukan jenayah seperti penyeludupan dadah dan barang terlarang.

“Organisasi jenayah ini, yang dihubungkan melalui jaringan kelompok besar, beroperasi di beberapa negara dan memindahkan kanak-kanak secara bergilir,” kata Europol, sambil memaklumkan bahawa mangsa termasuk kanak-kanak bawah umur yang merupakan pelarian dari negara-negara bukan EU.

Agensi itu mengatakan bahawa wabak coronavirus juga menguntungkan pornografi kanak-kanak, penjenayah siber dan penipuan dalam talian di seluruh benua.

“Penjenayah dengan cepat mengeksploitasi pandemik untuk ‘menyerang’ orang yang mudah dipergunakan untuk menjual barang-barang yang mereka katakan akan mencegah atau menyembuhkan COVID-19. 

“Perintah berkurung pada peringkat awal pandemik mendorong lonjakan penderaan seksual kanak-kanak, sering melalui forum ‘dark web’ di mana individu mendapat kemasukan dengan merakam dan menyiarkan penderaan mereka terhadap anak-anak, mendorong orang lain untuk melakukan hal yang sama,” kata Europol.

Pesuruhjaya Eropah untuk Ehwal Dalam Negeri, Ylva Johansson mengatakan bahawa wabak itu ‘telah memperlambat banyak aspek dalam kehidupan normal kita tetapi malangnya telah mempercepat aktiviti jenayah dalam talian.’ – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button