Berita Utama

427 hektar tanah kerajaan Selangor diceroboh

Kuala Langat catat pencerobohan tertinggi diikuti Klang

BANGI, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah tanah kerajaan yang telah diceroboh di negeri ini adalah seluas 427 hektar.

Beliau berkata, tanah kerajaan adalah termasuk semua tanah yang dipegang oleh atau bagi pihak kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau pihak berkuasa berkanun yang terletak kepadanya oleh undang-undang Persekutuan atau negeri.

Katanya, pencerobohan itu melibatkan sembilan daerah di negeri ini dengan Kuala Langat merekodkan pencerobohan tanah paling tinggi iaitu sebanyak 142.85 hektar 

“Manakala kedua tertinggi ialah Klang (86.1 hektar); diikuti Petaling dan Kuala Selangor masing-masing 40.46 hektar.

“Hulu Langat (34 hektar); Gombak (32.3 hektar); Sepang (29.1 hektar); Hulu Selangor (20.2 hektar) dan Sabak Bernam (1.4 hektar),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mohktar (PH-Meru) mengenai jumlah keluasan tanah kerajaan yang telah diceroboh di Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin menambah, kesemua tanah berkenaan telah dikeluarkan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 oleh Pentadbir Tanah Daerah yang berkaitan.

“Mana-mana orang tanpa kebenaran yang sah iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan, membersih, membajak, menggali, mengepungi atau menanami mana-mana tanah sedemikian atau bahagian darinya, memotong atau memindah apa-apa kayuan atau hasil atas atau dari tanah sedemikian adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan ini jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun.

“Amaun denda dan tempoh penjara ini juga diperuntukkan kepada mana-mana orang yang bersubahat dalam melakukan ketiga-tiga kesalahan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button