Berita UtamaIstimewa

Belanjawan 2021 bukti kerajaan prihatin bantu depani cabaran ekonomi

Meski wujud kekurangan, ia diharap bantu hadapi COVID-19

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Dalam keadaan negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19, Belanjawan 2021 – bajet kali pertama dibentang Perikatan Nasional (PN) – disifatkan satu inisiatif yang memperlihat keprihatinan dan sikap bertanggungjawab kerajaan.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, meskipun terdapat beberapa kekurangan, sekurang-kurangnya Belanjawan 2021 yang bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ itu dapat membantu negara berdepan kesan buruk COVID-19.

Justeru, beliau berharap supaya peruntukan bernilai RM322.50 bilion – jumlah terbesar dalam sejarah negara – dapat membantu negara berdepan cabaran ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat pasca wabak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan supaya terus mengamalkan sikap integriti dan telus dalam setiap pelaksanaan terkandung dalam belanjawan berkenaan.

“Kita berharap tiada tabiat buruk kerajaan terdahulu dengan mengamalkan rasuah dan ketirisan dalam keadaan negara berdepan kesukaran.

“Bajet besar ini tentu akan membawa akibat buruk kepada negara jika berlaku ketirisan dan salah guna kuasa.

“Sekali pun ada kelemahan manusia di sana sini, paling kurang ia dapat membantu negara untuk berdepan kesan COVID-19 daripada terus menjunam dan kegagalan yang akibatnya dirasai oleh semua,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pembentangan Belanjawan 2021 oleh Kementerian Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen, petang tadi.

Pembentangan Belanjawan 2021 sangat dinanti-nantikan oleh semua golongan masyarakat dalam situasi politik negara yang kurang stabil, selain krisis pandemik yang dihadapi ketika ini.

Tengku Zafrul berkata, jumlah keseluruhan belanjawan terbesar itu meliputi RM236.5 bilion atau 73.3 peratus yang akan disalurkan kepada perbelanjaan mengurus, RM69 bilion (21.4 peratus) lagi bagi perbelanjaan pembangunan, manakala baki RM17 bilion ialah Kumpulan Wang COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button