Berita Utama

Belanjawan 2021 pastikan perniagaan, ekonomi terus didorong

Selain akan tambah baik ekosistem perniagaan secara umumnya

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui pelbagai langkah khusus, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, langkah-langkah khusus itu bukan sahaja memberi sokongan pembiayaan tetapi juga menambah baik ekosistem perniagaan secara umumnya.

“Saya yakin Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi pilihan kepada pelabur-pelabur asing dan domestik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Belanjawan 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen, di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, usaha memastikan ketahanan ekonomi negara juga adalah antara fokus utama kerajaan dalam belanjawan kali ini.

Kerajaan, katanya, komited dalam melaksanakan belanjawan pengembangan sementara terus mengekalkan disiplin fiskal.

Pengumuman Belanjawan 2021 hari ini, kata Muhyiddin, juga akan meneruskan momentum yang telah dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan yang diumumkan terlebih dahulu yang bernilai RM305 bilion.

Empat pakej rangsangan itu adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS +, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KITA PRIHATIN. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button