Berita Utama

Belanjawan 2021: Ubah gaji serta status doktor, pegawai kesihatan kontrak

Bimbang negara tak mampu hadapi krisis masa hadapan jika suntikan dana sektor kesihatan masih minimum

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) berpandangan, penghargaan pelbagai pihak yang diberikan kepada para petugas barisan hadapan negara sepanjang penularan pandemik COVID-19 adalah amat baik.

Pun begitu, penghargaan terhadap mereka terutama doktor dan pegawai kesihatan tidak sewajarnya hanya meniti di bibir sahaja.

Ia seharusnya dizahirkan dengan sumbangan fizikal yang boleh membantu menaikkan lagi semangat dan juga produktiviti para petugas barisan hadapan.

Justeru, Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA), Hazwan Mohamad berkata, antara inisiatif yang boleh dilakukan adalah menawarkan para pegawai perubatan khususnya yang berstatus kontrak ke jawatan tetap.

“Pegawai kesihatan, doktor, ada antara mereka yang hanya berstatus kontrak sahaja. Petugas barisan hadapan ini mesti mendapat pakej yang terbaik. Yang mana berstatus kontrak perlu diberi jawatan tetap.

 

“Begitu juga, tangga gaji mereka perlulah dikaji semula agar seiring dengan pengorbanan dan usaha mereka bertarung mengubati pesakit COVID-19,” katanya dalam video kupasan Belanjawan Alternatif 2021 BERJASA, semalam.

Selain itu, Hazwan berkata, kerajaan perlu mengambil pelajaran daripada penularan COVID-19 dengan memfokuskan penambahbaikan perkhidmatan kesihatan yang cekap dan akses kesihatan yang menyeluruh di setiap pelosok negeri. 

Untuk itu, beliau berkata, BERJASA menyarankan kerajaan memfokuskan usaha untuk menaik taraf hospital-hospital daerah terpilih kepada taraf hospital universiti dan pusat penyelidikan.

 

“Kalau kita imbas kembali belanjwan yang dibentangkan tahun-tahun sebelum ini, dana hanya cukup-cukup makan untuk sektor kesihatan. Awal 2019, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika itu juga berkata sektor kesihatan, hospital awam masih kekurangan dana. 

“Kalau kita lihat hari ini kerajaan masih meletakkan dana sangat minimum pada sektor kesihatan. Saya bimbang kita takkan mampu hadapi dampak krisis kesihatan di masa akan datang,” katanya. 

Sebelum COVID-19, katanya, negara ini gagal melaksanakan penelitian dalam dana untuk sektor kesihatan.

Perkara itu membuatkan situasi sedikit kelam kabut dan ‘menggagau’ untuk mencari solusi, katanya lagi. 

“Tetapi alhamdulillah pada awalnya dapat ratakan balik lengkung COVID-19. Kita lihat kesatuan rakyat Malaysia menyumbang dan sebagainya. Jadi, sekiranya tidak ada pengajaran yang diambil untuk tahun mendatang. Kita akan susah,” katanya.

Sehubungan itu, Hazwan berkata, hospital sedia ada perlu dinaik taraf bagi menambah kapasiti dan menambah bilangan kepakaran terutama di hospital-hospital daerah.

“Kerajaan perlu beri suntikan padu kepada sektor kesihatan kerana bila krisis datang lagi, kita sudah bersedia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button