Berita Utama

COVID-19: Pihak berkuasa agama tak belakangi al-Quran, sunah

KKM, MKN pakar rujukan dalam hal berkaitan COVID-19 di negara ini

BANGI, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Usaha pihak berkuasa agama dalam menangani wabak COVID-19 di negara ini tidak membelakangi al-Quran dan sunah.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, langkah-langkah diambil oleh pihak berkuasa agama terutamanya ahli fatwa dalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk dalam hal berkaitan ibadat umat Islam adalah mengikut panduan al-Quran, sunah, ijmak ulama dan qiyas. 

Beliau berkata, ahli fatwa perlu melalui beberapa proses yang amat teliti dengan mendapatkan pandangan beberapa pakar, sebelum mengemukakan sesuatu fatwa seterusnya mendapatkan perkenan Sultan. 

“Dalam hal menangani COVID-19 ini, mufti dan ahli jawatankuasa fatwa negeri-negeri telah bersidang bukan sekali dua tetapi berkali-kali untuk memutuskan keputusan yang terbaik. Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan panduan hukum dan fatwa kerana tanggungjawab yang besar perlu dipikul.

“Panduan hukum pada orang ramai itu tidak melalui satu proses mudah tetapi berkali-kali melalui proses yang disebut sebagai mematuhi arahan al-Quran itu sendiri iaitu ‘hendaklah bertanya kepada pakar kalau engkau sendiri tidak mengetahuinya’.

“Jadi SOP yang kita buat ini tidak lari dari kerangka al-Quran itu sendiri iaitu al-Quran menyuruh kita bertanya kepada yang pakar,” katanya melalui rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebook Jabatan Mufti Perak, hari ini.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah pakar yang menjadi rujukan dalam perkara berkaitan COVID-19 di negara ini. 

Beliau berkata, panduan hukum berkenaan COVID-19 itu mengikut kehendak al-Quran dan berlandaskan sunah Nabi Muhammad SAW.

“Amat tidak betul SOP yang kita buat ini membelakangi hadis kerana Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan sunah manhaj di mana baginda memberikan gambaran kepada kita apabila berlaku wabak dan sebagainya metodologinya adalah mencegah.

“Sebab itu dalam peristiwa taun, Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Apabila kamu mendengar berita satu wabak taun sampai kepada satu negara, jangan kamu masuki negeri berkenaan. Kalau berlaku wabak itu di sesuatu tempat yang kamu berada di dalamnya jangan kamu keluar daripadanya’,” katanya.

Pada masa sama, beliau menolak persepsi sesetengah pihak yang mengaitkan COVID-19 sebagai satu konspirasi memandangkan jumlah jangkitan di seluruh dunia kini sebanyak 47.8 kes dengan jumlah kematian seramai 1.2 juta orang. 

Katanya, negara-negara yang mempunyai kes positif tertinggi terdiri daripada negara bukan Islam. 

Beliau turut menasihatkan golongan pendakwah supaya tidak mencetuskan konflik sosial di antara rakyat dan pemerintah dalam soal keputusan pihak berkuasa agama menentukan SOP. 

Katanya, semua pihak perlu memberi pendidikan, menyemai kasih sayang, perpaduan dan hormat-menghormati antara rakyat dengan pemerintah, selain meminta semua terus berdoa supaya negara dijauhi pandemik berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button