Berita Utama

Harap Belanjawan 2021 tangani infrastruktur sekolah daif

Insentif RM180 akses internet bantu murid tak tercicir dalam pembelajaran

BANGI, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Kementerian Pendidikan kekal sebagai penerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2021 membabitkan RM50.4 bilion perbelanjaan kerajaan.

Meskipun peruntukan tahun ini berkurangan daripada tahun lalu – RM64.1 bilion pada Belanjawan 2020, ia masih memperlihatkan komitmen kerajaan dalam bidang pendidikan. 

Menyambut baik belanjawan yang diumumkan petang tadi, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) percaya peruntukan kepada sektor pendidikan mampu menangani isu infrastruktur di sekolah kerajaan, termasuk sekolah daif.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berharap peruntukan itu dapat meningkatkan kecemerlangan sekolah-sekolah luar bandar, sekali gus memperkasa fasiliti di sekolah kebangsaan termasuk bantuan untuk pendidikan khas.

Ini sekali gus memastikan tiada murid yang ketinggalan mendapatkan akses pendidikan terbaik, katanya.

“iGuru juga berterima kasih dengan insentif program RMT (Rancangan Makanan Tambahan) setiap hari yang akan memberikan manfaat kepada murid-murid.

“Bantuan ini diharap dapat meningkatkan kualiti minda murid-murid dengan bekalan nutrisi baik yang akan menjamin perkembangan otak yang sihat untuk menerima proses pembelajaran di sekolah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Daripada RM50.4 bilion yang diperuntukkan, sebanyak RM725 juta akan disalurkan bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 buah sekolah-sekolah daif.

Selain itu, RM45 juta juga disediakan oleh kerajaan untuk kebajikan murid bekeperluan khas di sekolah bagi memperkasa pendidikan khas.

Pada masa sama, iGuru menyifatkan insentif RM180 untuk keluarga daripada golongan B40 bagi tujuan akses internet dan alat peranti pintar akan membantu murid supaya tidak kecicirian dalam proses pembelajar.

“Kita juga berharap inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dapat meningkatkan kualiti internet dan memberi manfaat kepada 430 buah sekolah.

“Bajet inklusif dan prihatin ini diharap membantu meningkatkan akademik anak-anak luar bandar untuk lebih cemerlang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button