Berita UtamaDunia

H&M, Boohoo, Nike nafi guna buruh paksa Uyghur

Perkara itu dibincangkan oleh Ahli Parlimen di UK

LONDON, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Tiga jenama fesyen terkemuka termasuk Hennes & Mauritz AB (H&M) , Boohoo dan Nike menafikan tuduhan melanggan pembekal dari Xinjiang, China yang didakwa menggunakan buruh paksa etnik Uyghur dalam penghasilan produk mereka.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen di bawah komuniti Strategi Perniagaan, Tenaga dan Industri (BEIS) susulan terdapat laporan jenama-jenama itu termasuk The North Face, menggunakan buruh paksa Uyghur untuk melariskan produk di United Kingdom (UK).

Pengarah Operasi Sumber dan Kumpulan bertanggungjawab di Boohoo, Andrew Reaney memberitahu Ahli Parlimen berkenaan bahawa jenama peruncit dalam talian itu terkejut apabila dikaitkan dengan laporan mengenai buruh paksa Uyghur.

“Kami terkejut dengan apa yang terjadi kepada etnik Uyghur di wilayah Xinjiang.

“Kami telah menulis kepada semua pembekal kami bagi mengesahkan bahawa kami tidak mempunyai hubungan pembuatan atau fabrikasi ke wilayah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Rantaian bekalan di H&M, David Savman berkata, kumpulan peruncit yang berpangkalan di Sweden itu tidak lagi menggunakan kapas dari Xinjiang.

“Ketika tuduhan ini timbul, kami telah membuat siasatan ke atas semua pembekal kami.

“Kami tidak menemui bukti pelanggaran itu, di mana kami mempunyai panduan etika yang sangat jelas, “ katanya.

Dalam sesi sama, Naib Presiden Sumber dan Pembuatan Kasut Global di Nike, Jaycee Pribulsky berkata, kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu sangat prihatin dengan keadaan di wilayah Xinjiang.

“Nike tidak mendapatkan kapas mentah. Nike telah mengesahkan dengan pembekal bahawa tiada benang atau tekstil yang dihasilkan di kawasan ini dalam produk kami,“ katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button