Berita Utama

Kadar BPR rendah, ANGKASA syor kerajaan timbang semula keputusan

BERJASA menerusi Belanjawan Alternatif tekan pemulihan COVID-19 dengan tingkat bantuan tunai rakyat kepada RM5,000

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Kerajaan perlu mempertimbangkan semula jumlah pemberian tunai – melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) – pada kadar yang lebih tinggi.

Ini kerana, pemberian tunai berkenaan akan mendorong rakyat untuk berbelanja, sekali gus menyuntik kembali ekonomi negara, kata Ketua Angkatan Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (ANGKASA), Hazwan Mohamad.

Beliau berkata, meskipun penerima BPR diperluaskan daripada B40 dan turut dinikmati oleh M40, namun jumlah yang ditetapkan tidak terlalu tinggi dan hanya ditingkatkan sedikit berbanding sebelum ini.

“Jika kita lihat apa yang dikatakan oleh pakar ekonomi, mereka mengatakan kerajaan perlu memberikan tunai yang banyak di tangan rakyat supaya boleh berbelanja dan menyuntik kembali ekonomi negara.

“Justeru, saya merasakan adalah satu keperluan untuk melihat semula perkara itu,” katanya dalam Analisis Belanjawan 2021 di TV Pertiwi, malam ini.

Melihat keperluan itu, Hazwan berkata, BERJASA menerusi Belanjawan Alternatif menekankan pelan pemulihan pertama pandemik, dengan meningkatkan bantuan tunai rakyat kepada RM5,000.

“Kita mengaku dengan pemberian tunai ini akan berlaku defisit. Defisit adalah defisit, sebab beberapa tahun dahulu pun belanjawan kita tetap defisit.

“Tetapi, kita juga faham rakyat ketika ini kekurangan wang di tangan mereka berbelanja,” katanya.

Dalam belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz petang tadi, Bantuan Sara Hidup (BSH) telah digantikan dengan BPR mulai Januari 2021.

Tengku Zafrul berkata, BPR akan memastikan manfaat besar kepada golongan berkaitan dengan kadar bantuan serta kategori pendapatan yang lebih baik.

Menerusi peruntukan itu, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200 manakala bagi dua anak atau lebih pula RM1,800.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan, manakala bagi dua anak atau lebuh akan menerima RM1,200.

Kerajaan turut mengumumkan bantuan untuk kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000, yang akan menerima RM500 bagi sehingga seorang anak dan RM750 untuk mereka yang mempunyai dua anak atau lebih.

Sementara individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula akan menerima bantuan RM350.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button