Berita Utama

Martabatkan tamadun Melayu, ISMA Johor sedia jadi rakan sinergi kerajaan negeri

Usaha MB selaras dengan slogan 'Menebus Kedaulatan Menjulang Peradaban'

BANGI, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Johor menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan sebagai rakan sinergi dalam membantu keberhasilan Pelan Induk Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada 8 Oktober lepas.

Difahamkan, pelan itu mempunyai sembilan teras strategik yang merangkumi semua aspek penting dalam pembangunan dan pemerkasaan Tamadun Melayu Johor.

Sembilan aspek berkenaan adalah Institusi Islam dan Kesultanan Melayu; ekonomi Melayu; iltizam politik; Bahasa dan Persuratan Melayu; Pelancongan Warisan dan Budaya; warisan budaya Johor, pendidikan dan pengislahan awam, pustaka warisan digital dan kepemimpinan Melayu Johor.

Menyambut baik pelan itu, Ketua Perhubungan ISMA Johor, Haji Mohd Tahir Hamdan berkata, usaha pemerkasaan warisan tamadun Melayu ini selaras dengan hasrat ISMA ketika mengetengahkan slogan ‘Menebus Kedaulatan Menjulang Peradaban’ dalam kesinambungan perjuangan mereka.

“Kita menyokong Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025 yang telah dilancarkan oleh Menteri Besar Johor pada 8 Oktober yang lalu. Ini sememangnya sesuatu usaha yang sangat baik dalam memperkasa warisan tamadun Melayu.

“Melihat kepada Pelan Induk ini yang berpaksikan kepada sembilan teras utama, ianya akan menjadi pencetus kepada generasi akan datang untuk meneruskan dan memperkasakan lagi tamadun Melayu khususnya di Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengambil contoh teras ketujuh dalam pelan itu – pendidikan dan pengislahan awam – Tahir berkata, ia dilihat sebagai teras yang menonjol dalam tamadun Johor khususnya pendidikan berasaskan Islam.

Jelasnya, jika melihat kepada sejarah pendidikan di Johor, ianya bermula pada tahun 1918 dengan tertubuhnya Sekolah Al-Quran atas titah Almarhum Sultan Abu Bakar pada ketika itu.

“Sekolah tersebut telah berkembang dengan pesat sehingga tertubuhnya Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) pada tahun 1999 yang mendapat sambutan hebat dari rakyat Johor.

“Sehingga kini sekolah agama kerajaan negeri Johor mempunyai seramai 580,000 pelajar dan 50,000 orang tenaga pengajar dan itu merupakan kekuatan yang ada pada Johor.

“Kita mengharapkan pelan induk ini dapat dijayakan dan ISMA Johor bersedia memainkan peranannya sebagai rakan sinergi dalam membantu keberhasilan pelan tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button