Berita Utama

Pengeluaran Akaun 1 KWSP inisiatif ringan beban kewangan rakyat

Beri manfaat kepada pencarum dengan nilai inisiatif RM9.3 bilion

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Kerajaan hari ini mencadangkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis pandemik COVID-19, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata ini termasuk penurunan kadar cukai pendapatan individu pemastautin, pengurangan caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta membenarkan pengeluaran Akaun 1 dana persaraan itu.

“Kerajaan bersetuju kadar cukai pendapatan untuk individu pemastautin diturunkan sebanyak satu mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000 yang dijangka memberi manfaat kepada 1.4 juta pembayar cukai,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja turut dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna.

“Ini akan memberi manfaat kepada pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan turut mencadangkan kemudahan pengeluaran Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

“Pengeluaran ini bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan 600,000 ahli yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata dengan mengambil kira inisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

“Keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 diunjurkan melibatkan RM4 billion. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya.

Belanjawan 2021 bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ memperuntukkan RM322.5 bilion iaitu RM236.5 bilion disediakan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button