Berita Utama

Perkasa amalan wakaf demi majukan negara

Sudah tiba masa ulama benarkan ahli profesional berwakaf melalui ilmu

BANGI, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Sektor wakaf perlu diperkasakan berikutan ia mampu menjadi sumber dana bagi memajukan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof Madya Dr Amir Shaharuddin berkata, wakaf ialah amalan infaq disumbangkan orang ramai demi kebaikan umum.

Katanya, demi memastikan ganjaran berterusan itu, wakaf mempunyai dua tunjang utama dalam pelaksanaannya iaitu kelestarian dan pertumbuhan.

Jelasnya, aspek kelestarian memberi maksud bahawa aset wakaf perlu dijaga dan dipelihara supaya ianya kekal bagi tempoh lama serta dimanfaatkan untuk kebaikan umum jangka panjang.

“Pertumbuhan pula bermaksud aset wakaf bukan sahaja perlu dikekal, bahkan dimajukan supaya mendatangkan hasil pulangan.

“Oleh itu, wakaf sesuai digemblengkan sebagai sumber pendanaan projek pembangunan infrastruktur dan fasiliti awam,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Prof Amir berkata, wakaf tunai adalah kaedah paling cepat untuk mencapai matlamat pemerkasaan sektor itu.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan, orang ramai dan korporat boleh berganding bahu merealisasikan projek wakaf membina dan menguruskan sebuah hospital awam.

Tambahnya, kerajaan boleh membiayai pembinaan bangunan hospital, manakala orang ramai serta pihak swasta boleh mengumpul dana tunai bagi melengkapkan peralatan serta kemudahan rawatan diperlukan.

Katanya, dianggarkan kerajaan perlu memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi pembinaan hospital dengan kapasiti 200 katil, RM150 juta diguna bagi membina bangunan, manakala RM100 juta lagi bagi pembelian kelengkapan rawatan.

“Sekiranya, rakyat dan korporat menyumbang melalui aktiviti wakaf, beban ditanggung kerajaan dapat dikurangkan.

“Selain itu, semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat boleh disuburkan melalui wakaf perkhidmatan. Wakaf tidak terhad kepada aset dan wang ringgit semata-mata,” katanya.

Selain itu, Prof Amir berkata, amalan wakaf bukan dilakukan secara mandatori, sebaliknya sukarela.

Beliau mendakwa, ramai bersedia menyumbang secara percuma untuk menikmati hidup lebih bermakna.

Justeru, katanya, sudah tiba masanya ulama dan cendekiawan Islam membuka dimensi baharu wakaf bagi membolehkan ahli profesional berwakaf melalui kepakaran, ilmu dan tenaga masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, hospital, doktor pakar atau jururawat boleh memperuntukkan sebahagian khidmat mereka ketika merawat pesakit sebagai wakaf.

“Sememangnya wakaf menyumbang secara signifikan pada zaman kegemilangan Islam. Projek wakaf memberi impak besar meningkatkan taraf hidup rakyat pada zaman Uthmaniyyah.

“Menurut catatan sejarah, satu pertiga tanah pertanian pada kurun ke-17 diusahakan secara wakaf.

“Justeru, sektor wakaf perlu diperkasakan di negara ini supaya memberi impak bermakna kepada hidup orang ramai.Yayasan Wakaf Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri bersedia memikul tanggungjawab besar ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button