Berita Utama

Peruntukan COVID-19 kecil? Rakyat ‘disuruh’ selesai masalah sendiri

'Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab bantu rakyat ketika ini'

BANGI, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Peruntukan sebanyak RM17 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19 yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 hari ini dianggap terlalu kecil.

Sewajarnya peruntukan itu dibesarkan lagi agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak memerlukan simpanan mereka dikeluarkan bagi menghadapi pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Azlan Awang membangkitkan persoalan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab untuk membantu rakyat ketika ini.

Katanya, rakyat tidak seharusnya ‘disuruh’ untuk menyelesaikan masalah mereka dengan mengeluarkan simpanan hari tua.

“Sepatutnya tidak begitu. RM17 bilion sangat kecil dan sepatutnya besar kerana tidak seharusnya duit KWSP itu dikeluarkan,” katanya dalam Analisis Belanjawan 2021 di TV Pertiwi, malam ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000.

Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari dan kemudahan pengeluaran Akaun 1, katanya, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

“Pengeluaran Akaun 1 KWSP dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli terjejas selain membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan membabitkan RM4 bilion,” katanya.

Meskipun enggan mengulas dari segi politik, Azlan bagaimanapun memaklumkan kurang bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Jelasnya, KWSP sebelum ini memberitahu bahawa ahli yang mampu untuk sara hidup mereka – dari akaun yang aktif iaitu daripada enam hingga tujuh juta pencarum – lebih kurang 20 peratus sahaja.

“Pada usia 54 tahun, simpanan mereka – tidak sampai 20 peratus – yang cukup RM200,000. Dari jumlah itu mereka (ahli) boleh ‘drawdown’ RM900 sebulan.

“Kalau ikut sekarang ini sudah setengah sahaja dari garis kemiskinan. RM900 sebulan setengah dari garis kemiskinan (sedangkan) kebanyakan (simpanan pencarum) RM50 ribu ke bawah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button