Berita Utama

RM6.5 bilion Bantuan Prihatin Rakyat manfaat 8.1 juta orang

BPR akan dilaksanakan secara lebih bersasar berbanding BSH

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Bantuan Sara Hidup (BSH) akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan peruntukan berjumlah RM6.5 bilion yang dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang menerusi Belanjawan 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata di bawah BPR, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima sebanyak RM1,800.

Katanya isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak pula akan menerima bantuan sebanyak RM800, manakala yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima RM1,200.

“Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000. Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu, katanya individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula akan menerima bantuan RM350, dengan umur kelayakan diturunkan kepada 21 tahun berbanding 40 tahun sebelum ini.

Tengku Zafrul berkata BPR akan dilaksanakan secara lebih bersasar berbanding BSH yang sebelum ini memperuntukkan RM5 bilion untuk 4.3 juta penerima.

Sebagai tambahan kepada BPR, katanya kerajaan akan turut memperuntukkan RM1.5 bilion bagi melaksanakan Program Jaringan PRIHATIN bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah B40 mendapatkan kemudahan internet.

“Bermula suku pertama 2021, kira-kira lapan juta penerima daripada golongan B40 akan menerima bantuan RM180 dalam bentuk kredit telekomunikasi,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, bantuan itu boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.

Pada masa sama, katanya syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion seperti dalam bentuk data percuma. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button