Berita Utama

RM7.4 bilion bagi perluas perkhidmatan jalur lebar

Jaringan telekomunikasi kini boleh dianggap sebagai utiliti ketiga

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Sejumlah RM7.4 bilion akan diperuntuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar bagi tahun hadapan dan 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 beliau berkata jaringan telekomunikasi kini boleh dianggap sebagai utiliti ketiga, malah dalam suasana norma baharu, perkhidmatan secara maya sudah menjadi kelaziman.

“Pembangunan infrastruktur dan penaiktarafan rangkaian asas telomunikasi adalah perlu bagi menampung keperluan gaya hidup digital,” kata beliau ketika membentangkan belanjawan dengan tema ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata sebanyak RM500 juta turut akan diperuntuk kerajaan di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 sekolah seluruh Malaysia.

Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung Cerdik oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 sekolah sebagai projek rintis yang akan diselia Yayasan Hasanah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button