Berita Utama

UMANY diasuh gerakan anti-Perlembagaan? Benci identiti negara?

'Kita jangka UMANY akan sentiasa bawa isu cabar identiti': WIBAWA

BANGI, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Sikap biadab yang dipamerkan oleh Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mereka dipercayai didukung gerakan anti-Perlembagaan.

Oleh disebabkan itu, dijangkakan pertubuhan yang didakwa pro-DAP berkenaan akan terus mempersoalkan nilai serta identiti yang dimiliki oleh negara.

Presiden Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA), Azrul Azham mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan UMANY baru-baru ini ke atas Universiti Malaya (UM) hanyalah satu daripada banyak tindakan boleh mereka lakukan.

Sehubungan itu, beliau berharap sesuatu mampu dilakukan pihak UM yang sehingga kini masih belum memberi kata putus akhir berkenaan untung nasib UMANY.

“Kita jangkakan UMANY akan sentiasa membawa isu yang akan mencabar identiti negara. Kritikan UMANY kepada UM hanyalah sekelumit jika hendak dibandingkan kebencian UMANY terhadap identiti negara.

“Kita tak pelik mengapa mahasiswa ini beriya-iya menentang identiti negara bila mana mereka ini diasuh oleh gerakan gerakan yang juga anti-Perlembagaan.

“Cuma kami semua masih menantikan apakah jawapan akhir UM kepada UMANY,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, UM dalam satu kenyataan memaklumkan, akan segera menjalankan siasatan mengenai hantaran laman Facebook bertajuk ‘Yang di-Pertuan Agong Tidak Sepatutnya Campur Tangan dalam Hal Ehwal Negara’ yang dimuat UMANY.

Pejabat Komunikasi Korporat UM menegaskan bahawa universiti itu menjunjung dan menghormati institusi beraja.

Oleh yang demikian, Pengurusan Tertinggi Universiti mengutuk sebarang kenyataan yang melanggar atau bertentangan dengan prinsip tersebut.

Sebelum ini, UMANY mendakwa, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

UMANY sebelum ini mencetuskan kontroversi – apabila mempersoal campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan pentadbiran negara.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya – YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun, hantaran UMANY di Facebook telah dipadamkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button