Berita Utama

Belanjawan 2021: Bantuan ‘one-off’ tak bantu selesai masalah rakyat

Tiba masa bank ‘berkorban’ kurangkan faedah, beri pelepasan hutang

BANGI, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Walaupun Belanjawan 2021 berfokus kepada rakyat, namun terdapat beberapa kelompongan yang perlu dipertimbang semula oleh kerajaan sebelum ia diluluskan.

Ini kerana, pendekatan kerajaan melalui belanjawan tahun hadapan banyak melihat daripada aspek pendapatan berbanding aspek perbelanjaan yang dihadapi rakyat, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Meskipun memuji inisiatif pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dijangka memanfaatkan lapan juta penerima, beliau berkata, bantuan bersifat ‘one-off’ itu masih belum menyelesaikan masalah rakyat yang dibelenggu bayaran pinjaman bank.

Katanya, sekurang-kurangnya rakyat diberikan pelepasan hutang atau setidaknya diberikan moratarium yang lebih panjang, mahu pun pengurangan kadar faedah.

“Pihak bank sudah untung berbilion ringgit, maka inilah masanya mereka ‘berkorban’ sedikit dalam bentuk mengurangkan kadar faedah, bagi B40 ke bawah perlu diberikan pelepasan hutang.

“Ini masanya pihak institusi kewangan menunjukkan sifat prihatin mereka kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan RM322.50 bilion – jumlah terbesar dalam sejarah negara – diperuntukkan kerajaan bagi Belanjawan 2021 yang bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’.

Daripada jumlah itu, belanjawan terbesar meliputi RM236.5 bilion atau 73.3 peratus yang akan disalurkan kepada perbelanjaan mengurus, RM69 bilion (21.4 peratus) lagi bagi perbelanjaan pembangunan, manakala baki RM17 bilion ialah Kumpulan Wang COVID-19.

Mengulas inti pati belanjawan semalam, Aminuddin turut mempersoalkan keberkesanan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun 2021, sedangkan jumlah mereka yang dilaporkan hilang pekerjaan adalah sekitar 2.4 juta.

Justeru, beliau yakin bahawa 500,000 peluang pekerjaan yang diumumkan itu tidak dapat menyelesaikan masalah pengangguran.

“Itu pun kita perlu perhalusi apakah jenis-jenis peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan itu,” katanya.

BACA PENUH ULASAN BELANJAWAN 2021 OLEH PRESIDEN ISMA DI RUANGAN PENDAPAT ISMAWEB.NET

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button