Berita Utama

Belanjawan 2021: Kerajaan tak pinggir M40, cuma tiada fokus khusus

Sagu hati semakin kecil bila pendapatan isi rumah meningkat naik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Golongan berpendapatan sederhana (M40) bukannya terpinggir dalam Belanjawan 2021, cuma mereka tidak diberikan fokus khusus seperti kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Pemberian sagu hati dalam program Bantuan Sara Hidup (BSH) – yang akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bermula Januari 2021 – kepada kumpulan berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebenarnya meliputi kumpulan M40.

Namun begitu, menurut pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, jumlahnya semakin kecil apabila pendapatan isi rumah naik.

Beliau berkata, secara khusus kumpulan M40 mendapat penurunan kadar cukai satu peratus jika berpendapatan bercukai mereka RM50,001 hingga RM70,000.

“Ini sebenarnya dinikmati oleh kumpulan berpendapatan tinggi.

“Selain itu, beberapa pengecualian juga diberikan untuk kumpulan pembayar cukai yang khususnya meliputi kumpulan M40 termasuk kebenaran membuat ambilan dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – bagi ahli yang terjejas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ditanya mengenai lanjutan moratorium, Prof Barjoyai berkata, moratorium pinjaman telah ditangani dalam Belanjawan 2021 dengan memberi tumpuan kepada kumpulan B40.

Katanya, mereka diberi pilihan untuk sama ada memilih moratorium selama tiga bulan lagi atau mengurangkan bayaran ansuran bulanan sebanyak separuh selama enam bulan.

“Ini merupakan pilihan yang baik. Sementara kepada kumpulan M40 pula mereka disyorkan untuk berunding dengan bank bagi menstruktur semula pinjaman mereka atau menjadualkan semula pembayaran. Ini penyelesaian yang baik,” katanya.

Sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2021 berkata daripada jumlah itu, RM236.5 billion (73.3 peratus) akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan RM69 billion atau 21.4 peratus bagi perbelanjaan pembangunan (DE) manakala baki RM17 bilion ialah untuk Kumpulan Wang COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button