Berita Utama

Belanjawan 2021: Segera naik taraf capaian internet khusus pedalaman

Pertimbang bantuan baucer seperti sebelum ini kepada mahasiswa

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Walaupun Belanjawan 2021 – yang dibentangkan pertama kali oleh Perikatan Nasional (PN) – semalam bersifat menyeluruh, kerajaan digesa menyemak semula keperluan untuk pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob mengakui sedikit kecewa dua perkara utama yang diharapkan terkandung dalam pembentangan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat tidak tersenarai.

Beliau mengharapkan kerajaan akan meminta syarikat telekomunikasi menaik taraf capaian mereka ke seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Ia memandangkan kehidupan hari ini banyak menggunakan gajet dan aplikasi yang bergantung kepada akses internet.

“Justeru, saya sangat mengharapkan supaya capaian internet yang stabil diperluas ke pelusuk negara, bahkan dengan tawaran murah daripada syarikat telekomunikasi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan kerajaan mempertimbang semula pemberian bantuan baucer buku seperti dilaksanakan sebelum ini kepada golongan pelajar dan mahasiswa.

“Sebelum ini, bantuan membeli buku yang tidak salah sebanyak RM250 diberikan kepada pelajar, di mana boleh digunakan bagi membeli buku, alat tulis atau melanggan internet kerana sekarang kebanyakan sesi pembelajaran adalah secara maya.

“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kewangan pada pelajar-pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi,” katanya.

Tengku Zafrul mengumumkan RM322.50 bilion – jumlah terbesar dalam sejarah negara – diperuntukkan kerajaan bagi Belanjawan 2021 yang bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’.

Belanjawan berkenaan sangat dinanti-nantikan oleh semua golongan masyarakat dalam situasi politik negara yang kurang stabil, selain krisis pandemik COVID-19 dihadapi ketika ini.

Tengku Zafrul berkata, jumlah keseluruhan belanjawan terbesar itu meliputi RM236.5 bilion atau 73.3 peratus yang akan disalurkan kepada perbelanjaan mengurus, RM69 bilion (21.4 peratus) lagi bagi perbelanjaan pembangunan, manakala baki RM17 bilion ialah Kumpulan Wang COVID-19.

Prof Abu Sofian berkata, semua golongan rakyat menikmati insentif daripada kerajaan, baik kumpulan B40, M40, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan sektor perniagaan.

“Di samping itu, banyak latihan vokasional dan insentif untuk penggunaan tenaga tempatan juga disediakan.

“Ini akan memacukan lagi ekonomi negara, di samping menjadikan ekonomi lebih kompetitif dan kurang kebergantungan kepada barangan import,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button