Berita Utama

DAP tak sensitif kesusahan rakyat, sibuk tanya peruntukan vernakular

Pembangkang patut 'check and balance' agenda kesejahteraan rakyat

BANGI, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Tatkala rakyat tergapai-gapai untuk hidup di dalam tempoh krisis pandemik COVID-19, parti tamak haloba DAP tanpa sensitiviti sibuk membangkitkan persoalan berhubung peruntukan kepada sekolah vernakular.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, sebanyak RM800 juta disediakan bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan untuk memastikan suasana pembelajaran yang kondusif.

Peruntukan itu juga termasuk kerja menaik taraf dan membina dewan terbuka atau struktur berbumbung bagi menyediakan tempat berhimpun yang selesa serta selamat di sekolah kerajaan.

Selain itu, kos tambahan sebanyak RM725 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 50 sekolah daif, namun tidak menyebut peruntukan khas untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina.

Serentak itu, Ahli Parlimen DAP, Khoo Poay Tiong mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta membandingkan belanjawan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ketika era PH, Sekolah Menengah Persendirian Cina diperuntukkan RM12 juta pada tahun 2019 dan dana tersebut meningkat kepada RM15 juta di bawah Belanjawan 2020.

Bagaimanapun, Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan, isu bantuan ke sekolah vernakular yang ditimbulkan DAP ini bukanlah isu besar dan sebenarnya tidak wajar dibangkitkan.

Jelasnya, ini kerana jika dilihat keadaan sekolah pun menunjukkan mereka berada dalam keadaan yang sangat baik dan selesa berbanding sekolah kerajaan yang kebanyakannya masih serba kekurangan.

“Lagi pun keabsahan sekolah vernakular di negara kita masih dipersoalkan ramai pihak yang dikatakan ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Isu utamanya sekarang ialah kesejahteraan rakyat keseluruhannya, terutama yang telah hilang mata pencarian di mana rata-ratanya terdiri daripada golongan B40,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Aminuddin menegaskan bahawa itulah agenda yang sepatutnya menjadi keutamaan terutamanya pihak pembangkang untuk membuat ‘check and balance’.

Dalam erti kata lain tegas beliau, isu ekonomi dan peluang pekerjaan perlu diberi penumpuan.

“Inikan tidak, sekolah vernakukar juga yang dirisaukannya dahulu. Apalah kesusahan rakyat di mata mereka. Di manakah sensitiviti mereka tatkala rakyat sedang tergapai-gapai untuk hidup di dalam tempoh krisis ini.

“Saya yakin yang mereka ini hanya bersuara demi simpati undi dan kepentingan politik semata-mata dan bukannya masalah negara mahu pun rakyat. Rakyat tidak buta untuk menilai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button