Berita Utama

KD Paus usir bot nelayan Vietnam: TLDM

Bot dinaiki 16 awak-awak itu dipercayai jalan aktiviti tangkap ikan

KOTA KINABALU, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Kapal Diraja (KD) Paus Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah bot nelayan asing dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan ketika melaksanakan rondaan di perairan Malaysia.

Pegawai Memerintah KD Paus Lt Kdr Nor Hisham Rahman berkata bot berkenaan dikesan di kedudukan kira-kira 149 batu nautika dari Kota Kinabalu pada tengah hari semalam.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati terdapat 16 awak-awak warga Vietnam di atas bot berkenaan.

“Bot itu telah diusir dan diberi amaran keras untuk tidak melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di Zon Maritim Malaysia pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Hisham berkata TLDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menjaga kedaulatan perairan maritim negara.

Katanya, TLDM juga akan terus melaksanakan rondaan dan pemantauan dalam usaha mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim serta mengelak penularan COVID-19 oleh pendatang asing tanpa izin menerusi jalan laut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button