Berita Utama

Kerajaan balas budi barisan hadapan sedia insentif menarik

Pastikan perkhidmatan klinik, hospital kerajaan pada tahap terbaik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menyambut baik peningkatan belanjawan yang diperuntukkan untuk sektor perkhidmatan kesihatan bagi tahun 2021.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima RM31.94 bilion berbanding RM30.6 bilion pada tahun ini.

Belanjawan yang bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ itu turut menyuntik RM1.8 bilion tahun ini untuk menangani COVID-19, selain RM1 bilion bagi meningkatkan saringan dan kesihatan dengan membekalkan kit saringan serta reagen.

Dalam pembentangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semalam turut mengumumkan pembayaran elaun RM600 sebulan dan pemberian tambahan secara one-off sebanyak RM500 kepada petugas barisan hadapan.

Kelainan Belanjawan 2021 turut terlihat menerusi penekanan pada elemen kesihatan mental dengan peruntukan RM24 juta untuk memperkukuh Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans.

Berpuas hati dengan jumlah peruntukan itu, Ketua Unit Kesihatan Awam I-Medik, Dr Mohd Ihsanuddin Abas berkata, perbelanjaan berkenaan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kerja keras serta pengorbanan kakitangan KKM.

“Penerusan elaun COVID-19 dan bayaran secara one-off untuk petugas barisan hadapan adalah sangat dialu-alukan.

“Bahkan, peruntukan untuk penyediaan pusat jagaan anak-anak petugas kesihatan di hospital juga adalah tanda kerajaan prihatin dengan kebajikan kakitangan KKM,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam menumpukan kepada pengawalan pandemik, Dr Mohd Ihsanuddin turut mengingatkan kerajaan supaya terus memastikan peruntukan mencukupi disediakan untuk ubat-ubatan serta rawatan penyakit kritikal, termasuk perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan.

Beliau berkata, memandangkan beban penjagaan kesihatan telah berganda berikutan pandemik COVID-19, namun perkhidmatan kesihatan sedia ada juga perlu dijaga.

“Jangan jadi seperti pepatah Melayu ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’

“Dalam kesibukan dan kesungguhan mengawal penularan COVID-19 dalam komuniti, KKM perlu terus memastikan perkhidmatan klinik dan hospital kerajaan berjalan pada tahap terbaik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button