Berita Utama

PAS nafi kenyataan media namakan Hadi Awang calon PM

Kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab kepada parti

BANGI, 8 Rabiulawal 1444H, Rabu – PAS hari ini menafikan kenyataan media yang kononnya dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertajuk ‘Bersama Mempertahankan Kepimpinan Ulama’ bertarikh 2 Oktober lalu.

Menerusi kenyataan media itu menyatakan, kononnya PAS menyokong keputusan UMNO membubarkan Parlimen dan menjalankan pilihan raya umum pada tahun ini.

Kenyataan yang lengkap dengan kepala surat parti itu turut mendakwa, bahawa PAS bersama Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi pilihan raya yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

“Pada masa yang sama, PAS memandang isu banjir yang dirisaukan oleh Pakatan Harapan untuk menjalankan pilihan raya hanyalah alasan yang dangkal.

“PAS tidak melihat sebarang masalah jika pilihan raya umum dijalankan pada waktu terdekat,” dakwa kenyataan media berkenaan.

Bahkan, kenyataan media itu turut mendakwa bahawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi PN untuk menghadapi pilihan raya kali ini, kononnya komitmen bagi membawa agenda Melayu dan Islam untuk menerajui negara.

Susulan perkara itu, PAS dalam kenyataan di Facebooknya menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan, sekali gus kesal terhadap tindakan tidak bertanggungjawab tersebut.

“PAS menafikan kenyataan media yang kononnya dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS dengan tajuk ‘Bersama Mempertahankan Kepimpinan Ulama’.

“Ditegaskan bahawa PAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan melahirkan rasa kesal atas tindakan tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button