Berita Utama

Mustahil Islam diberi ruang di AS meski dipimpin Joe Biden

AS menganut faham sekularis humanis daripada awal penubuhannya

BANGI, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Amat mustahil Islam sebagai agama dengan ideologi ketundukan mutlak kepada kehendak Tuhan diberi ruang di Amerika Syarikat (AS) dengan kerangka falsafah negara itu.

AS menganut faham sekularis humanis daripada awal penubuhannya serta berpegang kepada falsafah Protagoras: “Sesungguhnya manusia merupakan satu-satunya kayu ukur bagi segala benda.”

Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, AS berpegang kepada agama yang dipanggil sebagai agama umum (public religion).

“Ini adalah idea salah seorang pengasas Amerika iaitu Benjamin Franklin. Ia adalah campuran dari segala jenis pencairan agama dengan segala nilai kemanusiaan. Tiada lagi Tuhan…apa yang ada hanyalah manusia.

“Pegangan ini akan sentiasa menjadi dasar Amerika kerana ia dianggap sebagai wasilah politik penting untuk melahirkan kesetiaan sesama rakyat dan demi jaminan kestabilan sosial.

“Presiden Amerika akan sentiasa tertakluk kepada falsafah yang dibangunkan oleh pengasas-pengasas Amerika. Maka mustahil Islam sebagai satu agama dengan ideologi ketundukan mutlak kepada kehendak Tuhan akan diberi ruang dalam negara dengan kerangka falsafah itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas mengenai klip video calon Presiden AS, Joe Biden yang berjanji Islam akan diperlakukan seperti kepercayaan agama lain sekiranya menjadi Presiden, Ustaz Muhammad Fauzi yakin ia mungkin sebagai satu propaganda kempen pilihan raya dalam usaha meraih undi.

“Kalau ditanya pandangan saya, adakah Islam mempunyai harapan pada Joe Biden….saya yakin nasib umat Islam terletak di tangan mereka sendiri.

“Jika mereka kuat, Joe Biden dan sesiapa juga penguasa politik Amerika akan tunduk kepada kehendak mereka. Jika tidak, maka segala polisi akan dibuat untuk terus mencairkan umat Islam,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam mengambil kesempatan dan peluang daripada perubahan kepimpinan dunia untuk mendaulatkan Islam.

“Jangan sandar nasib pada sesiapa kerana nasib kita di tangan kita sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button