Berita Utama

Pendekatan PKPB sebelum keadaan lebih parah: PM

Peningkatan kes baharu COVID-19 datangkan kebimbangan

KUALA LUMPUR, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang bermula 9 Nov sehingga 6 Dis ini diputuskan, kerana pendekatan lebih tegas dan berani mesti diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peningkatan bilangan kes baharu jangkitan COVID-19 telah mendatangkan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat dan negara tidak lagi boleh terus kekal di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sehubungan itu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.

“Selain PKPB ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lokaliti tertentu, yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya, hari ini.

Muhyiddin berkata sekatan perjalanan merentas negeri juga akan dilaksanakan, bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dan aktiviti sosial sekali gus memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Sarawak turut membuat pembentangan tentang Pelan Persiapan COVID-19 bagi negeri itu, dalam Sidang Khas MKN.

Menerusi pembentangan itu, Muhyiddin berkata kerajaan negeri Sarawak telah membuat permohonan bagi menambah bilangan katil di unit rawatan rapi (ICU), dan meningkatkan kapasiti makmal ujian saringan pengesanan COVID-19 di tujuh hospital kerajaan di negeri tersebut.

Perdana Menteri turut meminta supaya kerajaan negeri berkenaan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan (KKM), bagi meneliti keperluan-keperluan itu dan diberikan pertimbangan sewajarnya.

Beliau turut berharap kesemua pendekatan yang diputuskan ini, akan membantu menurunkan kes-kes baharu jangkitan COVID-19 ke tahap paling rendah, bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button