Berita Utama

PKPB di seluruh negara kecuali Pahang, Kelantan, Perlis, Sarawak

Berkuat kuasa 4 minggu bermula 9 November hingga 6 Disember

KUALA LUMPUR, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan PKPB itu, dilaksanakan selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung peningkatan kes positif COVID-19, di beberapa negeri di Semenanjung.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti, di samping untuk mengekang penularan COVID-19 di negeri-negeri ini,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Susulan daripada langkah itu, Ismail Sabri berkata PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah, yang sepatutnya tamat pada 9 Nov ini juga akan bersambung serentak dengan penguatkuasaan PKPB di tujuh negeri lain di Semenanjung.

Beliau berkata, SOP bagi PKPB berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya pergerakan merentas daerah, negeri tidak dibenarkan kecuali kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada polis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button