Berita Utama

Zafrul umum belanjawan inklusif bantu golongan mudah terjejas

Sedia mikro-kredit, biaya usahawan, jana pekerjaan, pulih sektor

KUALA LUMPUR, 21 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Kerajaan tidak diragui lagi telah mengumumkan belanjawan inklusif bagi tahun depan seperti yang dibuktikan menerusi peruntukan RM322.5 bilion — yang terbesar dalam sejarah Malaysia — bagi membantu golongan mudah terjejas serta mengukuhkan ekonomi dalam keadaan yang sukar ketika ini.

Ia akan menyediakan kemudahan mikro-kredit, memudahkan pembiayaan bagi usahawan, menjana pekerjaan dan membantu memulihkan sektor terjejas teruk seperti pelancongan di samping mendepani ketidaktentuan ekonomi akibat daripada penularan pandemik COVID-19.

Satu cadangan penting menerusi belanjawan dalam norma baharu itu adalah kerajaan Perikatan Nasional akan menyediakan insentif bagi syarikat yang menghasilkan vaksin COVID-19 untuk melabur di Malaysia serta sektor farmaseutikal lain.

Meskipun ini merupakan belanjawan pertama beliau, pujian harus diberikan kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kerana mengutamakan kebajikan rakyat seperti memudahkan pembayaran semula pinjaman selain memperkenalkan cadangan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik.

Ia terutamanya dalam rantaian bekalan global yang mana dana teknologi tinggi bernilai RM500 juta akan diperuntukan bagi menyokong syarikat berteknologi tinggi dan inovatif.

Inisiatif utama bagi menjadikan Malaysia destinasi rantaian perkhidmatan bernilai tinggi adalah kerajaan akan melonggarkan syarat-syarat insentif cukai serta menubuhkan pusat dagangan global pada kadar konsesi.

Tengku Zafrul juga memberikan penekanan bagi memastikan kesinambungan perniagaan dan daya tahan ekonomi seperti yang dicerminkan menerusi penyaluran dana berjumlah RM15 bilion bagi projek prasarana mega, projek dalam koridor pembangunan dan projek baharu.

Kira-kira RM2 bilion akan disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) satu langkah yang bertujuan menyediakan peluang pekerjaan yang besar memandangkan sektor PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi Malaysia.

Apa yang penting dalam ucapan belanjawan itu adalah langkah-langkah bagi mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada 2021, yang mana amat kritikal kerana ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan langkah-langkah PKP bersyarat untuk membendung pandemik itu.

Bagi tujuan ini, penubuhan Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi inisiatif utama bagi mewujudkan pekerjaan, meningkatkan kemahiran d an latihan yang sangat diperlukan memandangkan beribu-ribu lepasan ijazah dan lepasan sekolah yang memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun.

Seperti belanjawan sebelum ini, inisiatif pemerkasaan ekonomi Bumiputera akan terus diberi galakan dengan peruntukan sebanyak RM11.1 bilion.

Satu lagi perkara menarik dalam Belanjawan 2021 itu adalah cadangan membabitkan pengecualian cukai tertentu, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 9.0 peratus berbanding 11 peratus ketika ini serta kebenaran pengeluaran daripada Akaun 1 dana persaraan itu serta bayaran sekali untuk kakitangan awam dan pesara yang akan menyuntik rangsangan terhadap sektor penggunaan.

Bagi KWSP, perkembangan penting baginya adalah ia dapat meneruskan pembangunan komersial dan hartanah kediaman Kwasa Damansara bernilai RM50 bilion yang berpoensi mewujudkan sebanyak 100,000 pekerjaan.

Peruntukan RM1 bilion bagi transformasi digital pula disifatkan sebagai penting bagi tujuan pengembangan selain membolehkan lebih banyak pembayaran dalam talian yang terbukti amat diperlukan akibat pandemik COVID-19 tersebut.

Cadangan itu berserta RM35 juta bagi mempromosi produk buatan Malaysia dan RM150 juta untuk inisiatif Shop Malaysia Online akan memacu negara sebagai tumpuan atau syurga beli-belah dalam talian.

Selain itu, sektor minyak sawit juga tidak terkecuali mendapat habuan selain perkembangan menarik membabitkan peningkatan ketara harganya pada masa ini.

Belanjawan 2021 telah memperuntukkan sejumlah RM20 juta bagi program pensijilan mampan — satu langkah yang akan meningkatkan penerimaan komoditi negara di pasaran negara maju yang menuntut produk import mempunyai label sedemikian.

Tidak ketinggalan, kerajaan turut mencadangkan beberapa cukai bagi menangani pasaran rokok seludup yang dilihat melegakan pengeluar rokok namun pada masa mungkin menambah rasa kesal bagi golongan perokok tertentu gemarkan rokok seludup.

Langkah tersebut juga bertepatan dengan usaha Malaysia yang sedang memerangi kegiatan penyeludupan rokok sehinggakan dianggap sebagai destinasi nombor satu dunia bagi rokok berkenaan.

Dalam pada itu, Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion berserta inisiatif-inisiatif terdahulu dalam pakej rangsangan fiskal seperti PRIHATIN, PENJANA, PRIHATIN PKS+ dan KITA PRIHATIN bernilai RM305 bilion, turut mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi kehidupan serta menjamin mata pencarian rakyat.

Namun, sebagaimana ditegaskan oleh Muhyiddin pada Khamis lepas bahawa sekarang bukanlah masanya berasa selesa dan penting untuk semua pihak di segenap lapisan masyarakat saling berganding bahu melaksanakan belanjawan itu secara berkesan selain bagi kerajaan meningkatkan sistem penyampaiannya.

Malah, Tengku Zafrul turut berkongsi sentimen Perdana Menteri apabila menutup pembentangan Belanjawan 2021 dengan gesaan jelas dan tegas — apa jua kesukaran dihadapi rakyat Malaysia tetapi kekuatan dan kesepakatan bersama dapat membantu mengharungi cabaran yang melanda.

Ini memerlukan pengorbanan dan ketabahan rakyat serta kerajaan, termasuk kalangan Ahli Parlimen yang berbeza politik untuk bersatu menangani dan seterusnya memenangi perang yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden manusia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button