Artikel KhasBerita Utama

7 kekurangan Belanjawan 2021

Fokus aspek material, pembangunan modal insan dipandang sepi

RAMAI yang telah memberikan komentar positif terhadap Belanjawan Negara 2021 yang telah dibentangkan Jumaat lalu.

Maka tidak perlulah saya ulang.

Saya lebih berminat untuk mengulas dari aspek penambahbaikan yang perlu dilakukan, bukan sahaja bagi Belanjawan 2021, tetapi beberapa kelemahan ini saya perhatikan telah berlaku sejak dahulu lagi:

1) Belanjawan terlalu memberikan fokus kepada aspek material, namun pembangunan modal insan seakan dipandang sepi.

Satu contoh mudah ialah dalam bidang teknologi, pelbagai inisiatif diberikan seperti kredit komunikasi (RM180 untuk B40), Program Jaringan Prihatin (RM1.5 bilion) dan Jendela (RM42 juta) bagi memastikan ketersambungan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Namun, pengisiannya bagaimana?

Kempen kesedaran penggunaan internet yang berhemah siapa yang bertanggungjawab? Apa jaminan semua fasiliti digital ini tidak akan disalahguna untuk tujuan negatif?

Tanpa dana untuk pembangunan dalam aspek insaniah, teknologi bakal menjadi pisau yang membunuh, bukan bermanfaat bagi penggunanya.

2) Hal ehwal agama Islam sebagai agama persekutuan dengan penganut yang majoriti sepatutnya mendapat peruntukan yang lebih besar.

Ini adalah kerana ia memberikan kesan terus terhadap pembangunan modal insan yang saya sebutkan dalam isi nombor 1 di atas.

Ternyata, dana RM1.4 bilion, elaun bulanan guru takmir dan sagu hati kepada imam/bilal/siak dan guru KAFA adalah amat tidak memadai.

Tambahan pula, tiada bantuan khas yang menyasarkan khusus sekolah agama, tahfiz dan institusi yang bakal melahirkan cendiakawan serta ulama terkemuka di Malaysia.

Begitu juga tidak dinyatakan bantuan khas kepada badan bukan kerajaan (NGO) terutama NGO Islam yang saban tahun bertungkus lumus melakukan pelbagai inisiatif kebajikan masyarakat dan program pembangunan jati diri, dengan hanya berbekalkan wang saku ahli-ahli sendiri yang tidak seberapa

3) Lebih mengecewakan peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga adalah sangat rendah dan lebih terfokus kepada pembangunan sukan seperti infrastruktur sukan (RM103 juta), pembangunan sukan prestasi tinggi dan e-sport (RM55 juta) dan Skim Tekun Sukan (RM20 juta).

Namun tiada langsung belanjawan yang dikhususkan untuk pembangunan jati diri dan pemulihan anak muda, padahal negara sedang bergelut dengan barah keruntuhan akhlak, salahlaku seks dan jenayah juvana yang amat meruncing.

Adakah e-Wallet berjumlah RM50 hanyalah gula-gula untuk pancing undi anak muda?

4) ‘Sin Tax’ hanya memberikan fokus terhadap rokok tetapi bagaimana dengan arak, dadah, perjudian dan pornografi?

Tidak langsung dinyatakan apa-apa dana atau polisi yang akan digunakan untuk mengekang elemen paling kejam yang menjahanamkan negara ini

5) Makanan segera dan minuman ringan yang sebenarnya termasuk dalam kategori Sin Tax juga tidak disentuh, padahal ia merupakan antara faktor utama Malaysia mencatatkan kadar obesiti yang tinggi di kalangan negara-negara dunia.

Jika pemimpin dan rakyat tidak sihat, apa makna kemajuan infrastruktur dan kekayaan ekonomi negara?

RM 19 juta untuk Agenda Kesihatan Nasional di bawah KBS adalah bagus, tetapi mencegah dalam aspek pemakanan adalah lebih efektif dari pelbagai inisiatif kesukanan yang lain.

6) Belanjawan Pendidikan yang merupakan antara yang terbesar berjumlah RM50.4 bilion juga banyak tertumpu kepada aspek infrastruktur, teknologi digital, bantuan kewangan, simpanan, latihan dan pemakanan.

Persoalannya adakah semua ini akan membantu menyelesaikan masalah utama pendidikan negara seperti isu bebanan kerja dan penempatan guru, isu disiplin murid, sistem penilaian, silibus bersepadu yang merangkumi akhlak dan cara hidup Islam serta banyak lagi.

7) Antara lain yang menarik minat saya ialah belanjawan sebanyak RM16 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan dan RM2.3 bilion untuk penyelenggaraan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Semua maklum saban tahun memang jumlah yang besar diperlukan bagi peralatan pertahanan yang amat penting bagi menjamin kestabilan dan kedaulatan negara.

Persoalannya, adakah jumlah ini ‘justified’ atau negara kita terpaksa menanggung beban penyelenggaraan yang tinggi disebabkan peralatan lama yang ketinggalan serta kekurangan pakar tempatan untuk diupah?

Ketika kita mampu membangunkan teknologi cecair Formula1 yang diiktiraf dunia, pelan serta perancangan yang sama perlu dibangunkan dalam teknologi pertahanan demi kemaslahatan Malaysia.

Ir Lukman Al Hakim Muhammad
Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button