Berita Utama

Boikot produk cara terbaik ajar Barat hormat Islam

Kemarahan dan protes diluahkan dengan tindakan logik, terkawal

BANGI, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Suatu penghinaan besar apabila Barat menuduh Islam menggalakkan keganasan.

Biarpun atas alasan kebebasan bersuara, tuduhan perbuatan berkenaan tetap tidak dapat diterima prinsip moral serta akal waras.

Hakikatnya, Islam dan ‘terrorisme’ ialah dua perkara berbeza. Islam ialah al-Din bersifat rahmah kepada sekalian alam.

Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaan.

Ini fakta cukup jelas mengenai Islam yang perlu diketengahkan kepada Barat bahawa Islam tidak memusuhi mana-mana umat manusia.

Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZa, Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi berkata, umat Islam wajar dan mempunyai hak meluahkan kemarahan serta protes terhadap pihak menghina agama mereka.

Namun, katanya, biarlah kemarahan dan protes itu diluahkan dengan cara baik, logik dan terkawal.

Maka, amat bertepatan sekali apabila Prof Dr Yusof al-Qaradawi menegaskan Islam tidak membenarkan sama sekali kekerasan dan keganasan seperti tindakan membakar kedutaan, membunuh pegawai kedutaan dan melakukan kemusnahan di tempat awam.

“Islam tidak pernah mengharuskan sebarang tindakan keganasan seumpama ini kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip moral dan akhlak Islam yang luhur.

“Sebaliknya, al-Qaradawi mencadangkan umat Islam memboikot semua barangan dari AS, Perancis dan negara yang terbabit dalam penghinaan Islam.

“Ini cadangan berhemah dan berpandangan jauh yang sewajarnya diberikan sokongan padu oleh umat Islam seluruh dunia dengan tujuan untuk mengajar Barat bahawa maruah dan agama umat Islam wajib dihormati pada masa hadapan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button