Berita Utama

Harap peruntukan perkasa Bumiputera sampai kepada kumpulan sasar

Suntikan modal tambahan bantu usahawan bersaing secara sihat

BANGI, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Peruntukan RM11.1 bilion untuk pembangunan Bumiputera adalah adil dan bertanggungjawab selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Situasi penularan pandemik COVID-19 memberi kesan ekonomi kepada ramai Bumiputera golongan B40, terumata individu yang bekerja sendiri sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak.

Justeru, Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Azizah Che Awang berkata, suntikan modal atau pinjaman kepada usahawan Bumiputera dalam pelbagai sektor temasuk makanan, pelancongan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pertanian dan perikanan akan menjamin kelangsungan hidup serta merancakkan lagi kegiatan ekonomi dalam negara.

“Peruntukan tambahan sebanyak RM3.1 bilion berbanding tahun sebelumnya juga dilihat sangat relevan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada industri Bumiputera.

“…seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan UiTM (Universiti Teknologi Mara), bagi menzahirkan graduan tenaga kerja yang berkualiti dan berinovatif terutama dalam industri perkhidmatan dan teknologi tinggi.

“Dalam era dunia digital, tentu sekali dengan suntikan modal tambahan dapat membantu usahawan Bumiputera bersaing secara sihat dengan kaum Cina, kerana industri teknologi tinggi memerlukan modal yang besar dan secara tidak langsung mengurangkan peratus pengangguran negara,” katanya.

Terdahulu, sejumlah RM11.1 bilion disediakan kerajaan bagi meneruskan usaha untuk menyokong pembangunan Bumiputera bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 Jumaat lalu berkata, ia merangkumi RM6.5 bilion untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM.

Menurutnya, bagi melonjak dan memperkasa usahawan Bumiputera, sebanyak RM 4.6 bilion disediakan.

Beliau berkata, RM 1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera.

Meskipun menyambut baik perkara itu, Azizah berharap supaya usaha pemerkasaan Bumiputera menjadi realiti dan sampai kepada kumpulan sasar.

“Sangat menyedihkan jika peruntukan tidak telus atau tiris disebabkan kegunaan bagi memperkasakan kroni dan bukan massa Bumiputera,” katanya.

Berbeza dengan tahun 70-an dan 80-an, Azizah berkata, pembiayaan pelajaran diberi dalam bentuk biasiswa dan dermasiswa, sedangkan ketika ini ramai Bumiputera berhutang dengan pinjaman PTPN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan MARA bernilai puluhan ribu ringgit.

“Wanita BERJASA berharap kerajaan mengamalkan sikap integriti, adil dan bertanggungjawab dalam membantu Bumiputera agar tidak tercicir dalam mendepani cabaran masa hadapan yang tidak menentu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button