Berita Utama

Kronologi helikopter terhempas sejak 2015

KUALA LUMPUR, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Kemalangan melibatkan dua helikopter di Taman Melawati dekat sini hari ini merupakan insiden keenam membabitkan pesawat jenis itu dalam tempoh lima tahun lepas.

Berikut merupakan kronologi helikopter terhempas sejak 2015:

4 April 2015: Helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) terhempas di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, Selangor mengorbankan lima penumpang termasuk Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan juruterbang Kapten Clifford William Fournier.

5 Mei 2016: Helikopter Eurocopter AS350 terhempas di Batang Lupar berhampiran Sebuyau, Sarawak, menyebabkan enam terbunuh termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

4 Oktober 2016: Helikopter Nuri terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balong, Tawau, Sabah, mengakibatkan 14 anggota tentera cedera.

15 Ogos 2018: Helikopter Robinson R-66 terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang menyebabkan dua juruterbang cedera ringan.

27 Februari 2020: Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa enam anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) terhempas di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Air Panas, Tawau. Kesemua anggota pasukan keselamatan itu selamat dengan hanya seorang cedera.

8 November 2020: Kemalangan membabitkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB) jenis G2CA di Taman Melawati ketika kedua-duanya sedang melakukan latihan penerbangan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dengan setiap pesawat membawa dua kru.

Sebuah daripada pesawat itu terhempas dan meragut dua nyawa iaitu Mohamed Sabri Baharom, 56, beralamat di Wangsa Melawati, yang juga seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Dua yang terselamat dalam kejadian itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51, yang menaiki sebuah lagi helikopter model 9M-HCA selepas berjaya melakukan pendaratan cemas di kawasan berdekatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button