Berita Utama

Perketat SOP di 3 negeri tak terbabit PKPB

Perintah pergerakan beri kesan psikologi, kesihatan mental, fizikal

BANGI, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Kerajaan perlu mengetatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tiga negeri yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan.

Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslimin Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob berkata, orang awam di negeri-negeri berkenaan juga wajar berdisplin selain digalakkan membuat perubahan sikap dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Hal ini kerana, katanya, pelaksanaan PKPB memberi kesan psikologi, kesihatan mental, fizikal dan kesan langsung kepada perniagaan serta macro-ekonomi kepada rakyat di negara ini.

“Jadi, mengetatkan SOP dan mendisiplinkan orang awam dan galakkan perubahan pada sikap adalah lebih wajar dilakukan pada negeri-negeri yang dinyatakan tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama sebulan bermula 9 November hingga 6 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPB ini juga akan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November ini.

Mengulas lanjut, Dr Azizi menyifatkan bahawa PKPB yang dikenakan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia kecuali tiga negeri terbabit adalah drastik berdasarkan pertambahan kes positif COVID-19 mengikut harian dan mingguan.

Turut mengecualikan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dari senarai, beliau berkata, kadar insiden kumulatif kes mingguan COVID-19 bagi negeri-negeri di Perak, Melaka, Sarawak, Johor dan Terengganu juga tidak meningkat dengan ketara.

“Kadar insiden negeri-negeri tersebut masih dibawah 5 per 100,000 penduduk seminggu dan mengikut kajian epidmiologi ianya masih terkawal,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button