Berita UtamaDunia

Pesawat tempur Arab Saudi serang Yaman

Puluhan ribu orang awam tak bersalah terkorban sejak perang dilancarkan

SANA’A, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Pesawat tempur Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas kawasan perumahan di wilayah Ma’rib dan al-Jawf, Yaman.

Rangkaian televisyen al-Masirah melaporkan bahawa pesawat perang melepaskan lima peluru berpandu di daerah Medghal Ma’rib, semalam.

Pesawat pengebom Arab Saudi juga menjatuhkan peluru berpandu di daerah Khabb wa ash Sha’af al-Jawf dan satu lagi di kawasan Rahabah di wilayah yang sama, tambah laporan itu.

Sekurang-kurangnya enam orang awam cedera setelah pesawat melancarkan serangan di kawasan komersial di wilayah Ma’rib, pusat strategik Yaman.

Bagaimanapun, belum ada laporan mengenai jumlah korban.

Arab Saudi melancarkan serangan ketenteraan yang dahsyat terhadap jiran selatannya pada bulan Mac 2015 dengan kerjasama beberapa negara sekutunya, dan sokongan senjata daripada Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat.

Tujuannya adalah untuk mengembalikan kuasa rejim yang disokong oleh Riyadh dan mengalahkan gerakan Houthi Ansarullah yang telah menguasai pentadbiran negara.

Namun, perang yang dilancarkan gagal mencapai tujuan tetapi membunuh puluhan ribu orang Yaman yang tidak bersalah dan memusnahkan infrastruktur negara yang miskin itu. 

PBB merujuk kepada keadaan di Yaman sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button